- Iklan -
Berita

Masih fobia air naik, banjir ketika PRU15 tak mengujakan mangsa

Mereka tidak berminat dengan ahli politik yang hanya datang ke pusat pemindahan sementara hanya untuk berkempen bagi mendapatkan sokongan.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Mangsa banjir di Meru duduk berbual di pusat pemindahan sementara.
Mangsa banjir di Meru duduk berbual di pusat pemindahan sementara.

Ira dan Yati duduk berbual di tepi khemah oren yang menjadi "rumah ganti" mereka di pusat pemindahan sementara (PPS) SK Sungai Binjai, Klang selepas kediaman mereka dimasuki air akibat banjir. 

Tinjauan MalaysiaNow ke PPS tersebut mendapati bilangan keluarga yang ditempatkan di situ semakin berkurangan pada waktu pagi sejak ianya dibuka untuk penempatan beberapa hari lalu.

Bagaimanapun keadaan cuaca yang tak menentu menyaksikan beberapa keluarga kembali menginap semula di situ sehingga air surut dah cuaca reda. 

Ira dan Yati memberitahu mereka masih fobia terhadap kejadian banjir besar dan mengejut yang melanda Lembah Klang pada Disember tahun lalu. 

Kata Ira, sebaik sahaja hujan lebat mula memenuhi parit besar di tepi rumahnya, dia mula berasa panik sehingga mencetuskan perasaan bercampur baur kerana bimbang banjir mengejut akan berlaku. 

"Saya balutkan, angkat dan kemudian kemaskan semua barang sebelum datang sendiri ke sini. 

"Suami kunci sahaja rumah, kami terus datang ke sini," katanya ketika tinjauan MalaysiaNow ke sekolah itu petang Sabtu. 

Sehingga kini, kira-kira terdapat 10 PPS dibuka di Selangor sejak 10 November lalu apabila beberapa kawasan terutamanya di Klang dan Kuala Selangor dinaiki air. 

Mengulas lanjut, Ira berkata masih cuba bertenang daripada memikirkan perkara-perkara buruk atau kejadian banjir yang lebih teruk melanda dalam masa terdekat. 

Ini kerana dia sudah tidak mampu lagi menanggung kerugian akibat bencana tersebut. 

"Sebanyak RM30,000 habis digunakan untuk menggantikan perabot di dalam rumah selain baik pulih semua kemusnahan. 

"Hutang baiki dua buah kereta yang ditenggelami air pun belum habis dibayar. Saya tak tahu nak meluah lagi kepada siapa tentang hal ini." 

Ira dan Yati ketika ditemu bual di pusat pemindahan sementara di Meru, Klang.
Ira dan Yati ketika ditemu bual di pusat pemindahan sementara di Meru, Klang.

Sementara itu, Yati berkata dia hanya fikirkan nyawa dan keselamatan ahli keluarganya sebaik sahaja dimaklumkan paras air semakin tinggi di kawasan rumahnya. 

"Balik sahaja dari tempat kerja, saya capai pakaian yang ada dan suami terus pandu kereta ke sini. 

"Kami tak boleh tunggu kerana terbayangkan situasi banjir tahun lepas. Kenderaan pacuan 4 roda pun tak boleh masuk. 

"Ketika itu ada sesetengah keluarga yang terpaksa panjat bumbung rumah untuk diselamatkan." 

Malaysianow dimaklumkan kira-kira lebih 400 mangsa banjir ditempatkan di PPS SK Sungai Binjai dengan 146 keluarga. 

Tiada ahli politik bantu 

Dalam pada itu, Ira berkata dia kecewa dengan sikap sesetengah pihak yang giat menjalankan kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tanpa menjaga sensitiviti penduduk yang terjejas akibat banjir. 

Katanya, ketika sibuk mengemas barang-barang di rumah, ramai anggota parti yang sibuk mengibarkan bendera dengan melaungkan nama parti tanpa mempedulikan kebimbangan penduduk. 

"Duduk tepi jalan kibar bendera cakap undi kami, undi kami. 

"Bukan nak tolong kami yang sibuk berpindah. Tapi politik sahaja." 

Yati pula berkata, dia enggan melayan calon-calon PRU15 yang datang ke pusat pemindahan hanya untuk berkempen bukan membantu. 

"Yang pakai bendera merah, saya pun tak tahu siapa. Datang sini pusing-pusing kemudian minta sokong dia. 

"Macam mana tu? Kami tengah takut rumah tak selamat. Dia takut benda lain." 

Disebabkan itu, kata Yati dia enggan melayani kempen calon-calon PRU15 yang tidak sensitif terhadap perasaan mangsa banjir. 

Ketika ini, katanya, semua mangsa banjir hanya memikirkan keadaan rumah yang ditinggalkan bukan calon yang hanya pandai tunjuk bendera. 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.