- Iklan -
Berita

Panggilan telefon yang menyebabkan bekas ahli Parlimen kembali ke gelanggang politik

Wee Choo Keong berhasrat untuk bersara dan kembali bekerja dalam dunia guaman namun kini bertanding mewakili Warisan di kawasan lamanya di Wangsa Maju.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Calon Warisan We Choo Keong bertemu pengundi ketika kempen di Jalan Gombak pada 9 November. Gambar: Facebook
Calon Warisan We Choo Keong bertemu pengundi ketika kempen di Jalan Gombak pada 9 November. Gambar: Facebook

Selepas kali terakhir berkhidmat di Dewan Rakyat pada 2013, Wee Choo Keong tidak pernah bercadang untuk kembali ke arena politik sebaliknya fokus mengendalikan kes-kes mahkamah di firma guamannya. 

Bagaimanapun, beliau seringkali menerima panggilan telefon daripada penduduk Wangsa Maju yang mahukannya kembali dan berkhidmat kepada rakyat setempat. 

Wee berkata penduduk sering kali merujuknya apabila ada masalah tertentu terutamanya berkaitan isu keselamatan dan infrastruktur di kawasan tersebut. 

Sehingga suatu hari, beliau mendapat pelawaan daripada Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal untuk bertanding sekali lagi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan logo Warisan di kerusi Wangsa Maju. 

Wee berdepan pertandingan enam penjuru menentang Mohd Shafei Abdullah (Barisan Nasional), Zahir Hassan (Pakatan Harapan), Nuridah Mohd Salleh (Perikatan Nasional), Norzaila Arifin (Gerakan Tanah Air) dan calon bebas, R Suntheralingam.

Selain itu, Wee menegaskan tujuan utamanya kembali adalah untuk menjadikan Parlimen sebagai tempat yang sebenarnya menumpukan kepada penyelesaian rakyat dan bukan lagi menjadi permainan politik bagi sesetengah pihak yang tidak pernah berputus asa untuk merebut kuasa. 

"Inilah tugas ahli Parlimen yang sebenarnya. Cakna tentang isu rakyat dan bawanya ke Parlimen. 

"Supaya ianya tidak lagi berulang dan menyusahkan rakyat. 

"Dan sebab inilah saya kembali," katanya dalam satu wawancara bersama MalaysiaNow. 

Wee merupakan anak kelahiran dari Kelantan pernah menyandang kerusi Parlimen Bukit Bintang mewakili DAP dari tahun 1990 hingga 1995. 

Beliau kemudiannya mewakili PKR untuk kerusi Parlimen Wangsa Maju dari tahun 2008 hingga 2013. 

Tambah Wee lagi, sepanjang bergelar ahli Parlimen sebelum ini, beliau amat aktif menyuarakan pandangan dan cadangan terhadap sesuatu isu dan polisi pada blognya. 

Dari situ, katanya, ramai pihak berwajib sentiasa beringat dan berhati-hati terhadap kerja masing-masing kerana bimbang jika ia menjadi topik pada blog tersebut. 

"Saya pernah hubungi DBKL dan mereka kata jangan risau, sudah diambil tindakan. 

"Saya baru sahaja telefon dan mahu maklumkan. Tetapi mereka sudah baca di blog saya terlebih awal. Tindakan pun sudah diambil." 

Penyatuan rakyat jadi agenda utama 

Dalam pada itu, Wee memberitahu penyatuan dalam kalangan penduduk Wangsa Maju akan menjadi teras utama manifestonya pada PRU15 kali ini. 

"Apabila rakyat semua bersatu padu, apa yang kita tak boleh lakukan? Semua boleh.  

"Kerajaan perlu ambil perhatian mereka jadi kerajaan untuk siapa? Rakyat. 

"Bukan Melayu sahaja atau India sahaja atau Cina. Tapi semua." 

Tambahnya, ketika menjadi ahli Parlimen Wangsa Maju, soal kaum dan agama penduduk tidak menjadi keutamaannya. 

Beliau menegaskan, sesiapa sahaja yang diganggu atau menghadapi masalah dari segi perundangan ataupun keselamatan, hak-hal mereka akan dipertahankan. 

"Saya membesar di Kelantan dengan makan budu, bergaul dengan oramg kampung yang majoritinya Melayu. 

"Jangan beritahu saya tentang nilai politik yang berpuak untuk kelompok tertentu sahaja. Saya tak akan terima." 

Dalam pada itu, Wee turut menarik perhatian wawancara itu terhadap keadaan infrastruktur di Wangsa Maju yang disifatkannya terlalu lama dan tiada pembaharuan. 

Perkembangan itu menyebabkan isu-isu yang sudah lama berlaku di kawasan tersebut tidak menemui jalan penyelesaian seperti kesesakan lalu lintas dan ketiaadan ruang parkir kereta yang mencukupi. 

Tambahnya, pada tahun 2013, jumlah pengundi di Wangsa Maju sekitar 75,000 dan kini meningkat sehingga 123,000 pengundi. 

"Peningkatan hampir satu kali ganda. Tapi jalan raya semua jalan yang sama. Jalan yang sama. Tiada yang baru. 

"Mungkin ini yang kurang di Wangsa Maju, infrastruktur." 

Sementara itu, ketika ditanya seorang pengundi di sebuah bengkel motosikal, Khaw Chui Ching berkata kemunculan semula Wee menjadi buah mulut banyak orang di Parlimen itu. 

Kata pesara guru bahasa Inggeris itu, rata-rata pengundi amat gembira dengan pencalonan Wee tanpa mengira logo parti yang diwakili beliau. 

"Letaklah logo muka badut pun, kami semua akan undi dia. 

"Dia calon banyak baik," katanya. 

Menurut Khaw, penduduk Wangsa Maju hanya mahu calon yang boleh beri jaminan keselamatan selain isu-isu pembangunan pesat yang menjadi kebimbangan ramai pihak. 

Bagaimanapun, dia yakin pengalaman Wee di kawasan Parlimen itu boleh membantu atasi masalah yang berbangkit.