- Iklan -
Berita

30 konsesi lebuh raya setuju beri tol percuma sempena PRU15

Perdana menteri berkata tol percuma akan dilaksanakan pada 18 dan 19 November ini.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pengundi bakal menikmati tol percuma untuk bergerak ke tempat mengundi pada 18 dan 19 November ini.
Pengundi bakal menikmati tol percuma untuk bergerak ke tempat mengundi pada 18 dan 19 November ini.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata 30 syarikat konsesi lebuh raya telah menyatakan persetujuan untuk memberi tol percuma pada 18 dan 19 November sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Ismail, kadar tol percuma selama dua hari sempena PRU15 itu adalah bagi memudahkan pengundi pulang ke kampung halaman untuk mengundi.

“Tol percuma tersebut akan bermula dari pukul 12.01 tengah malam 18 November (Jumaat) hingga 11.59 malam pada hari Sabtu, 19 November melibatkan semua kenderaan jenis persendirian, kelas 1 sahaja dianggarkan sekitar 90% dari jumlah keseluruhan kenderaan di lebuh raya,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Wisma Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Putrajaya hari ini.

Ismail berkata kerajaan turut bersetuju tarikh pembayaran gaji untuk penjawat awam bagi November 2022 diawalkan pada 17 November dan untuk pesara pula, bayaran pencen diawalkan pada 14 November.

“Ini diharapkan dapat meringankan beban kos penjawat awam yang ingin pulang ke kampung halaman bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail turut memberi jaminan sekiranya kerajaan pimpinannya diberi mandat semula selepas PRU15, kesemua pengumuman yang terkandung dalam Bajet 2023 akan dilaksanakan.

Antara lain, katanya, adalah kadar maksimum gantian cuti rehat (GCR) yang boleh dikumpulkan bagi tujuan award wang tunai dinaikkan daripada 160 kepada 180 hari, dan kebenaran penebusan awal gantian cuti rehat (GCR) sehingga 50% akan dinaikkan sehingga maksimum 90 hari.

Ia juga termasuk kenaikan Gaji Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 kepada semua penjawat awam Gred 11 hingga 56, Bantuan Khas Kewangan kepada 1.3 juta penjawat awam gred 56 ke bawah sebanyak RM700 dan 1.0 juta pesara kerajaan sebanyak RM350, serta Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2023 dinaikkan kepada RM600 serta dibayar pada Mac 2023.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November ini sebagai hari pengundian, manakala esok ialah hari pengundian awal.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.