- Iklan -
Berita

Azmin atau Amirudin, siapa pilihan pengundi Gombak?

Walaupun lima calon akan bersaing, namun tumpuan dijangka akan diberikan kepada pertembungan antara dua pemimpin dari Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan itu.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Penyandang Gombak Mohamed Azmin Ali berbual dengan calon Pakatan Harapan Amirudin Shari pada hari penamaan calon 5 November lalu.
Penyandang Gombak Mohamed Azmin Ali berbual dengan calon Pakatan Harapan Amirudin Shari pada hari penamaan calon 5 November lalu.

Sejak Mohamed Azmin Ali dipecat daripada PKR pada Februari 2020 dan menyertai Bersatu, tumpuan kini beralih kepada keupayaan menteri kanan perdagangan antarabangsa dan industri itu mempertahankan kerusi Parlimen Gombak yang disandangnya sejak 2008.

Selepas tiga penggal mewakili rakyat kawasan itu, Azmin kini akan berdepan dengan “anak didiknya” dari PKR, Amirudin Shari yang juga menteri besar Selangor serta tiga lagi calon lain dari Umno, Putra dan Bebas.

Gombak merupakan antara kerusi tumpuan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) terutama apabila PKR tekad untuk merampas kerusi Parlimen itu dengan meletakkan Amirudin, calon yang dianggap bertaraf panglima untuk berdepan dengan Azmin.

Pada PRU14, Azmin meraih majoriti undi hampir 50,000 menewaskan pesaingnya dari Umno dan PAS, namun terdapat pandangan yang berbelah bahagi bahawa kejayaan itu didorong oleh logo parti semata-mata atau disumbangkan daripada pengaruh dan jasa bekas timbalan presiden PKR tersebut.

Sementara itu, Amirudin belum pernah menyandang kerusi Parlimen dan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tua sejak 2008 ketika DUN itu bernama Batu Caves.

Prestasi Amirudin di DUN Sungai Tua pada PRU14 juga mencatatkan prestasi baik apabila beliau meraih majoriti 11,374 undi menewaskan pesaing daripada Barisan Nasional (BN), PAS dan bebas.

Tinjauan MalaysiaNow sekitar Gombak baru-baru ini mendapati pengundi di kawasan itu sememangnya mempunyai pandangan yang berbeza apabila ditanya mengenai pertembungan antara Azmin dan Amirudin.

Malah, kehadiran dua gergasi politik Selangor itu pada hari Penamaan Calon, 5 November lepas menyaksikan sokongan yang mengiiringi kedua-dua calon terbabit sememengnya sangat meriah.

Bercakap dengan MalaysiaNow, beberapa pengundi Gombak mengakui meskipun Amirudin kini memegang jawatan tertinggi di Selangor, mereka l menganggap Azmin sebagai individu yang lebih popular memandangkan ketua penerangan Perikatan Nasional (PN) itu sudah lama berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut.

Abdul Rahman Abdul Hamid yang sudah dua kali mengundi di Parlimen Gombak, melihat Azmin lebih sekadar daripada individu yang mewakili parti sama ada PKR atau Bersatu kerana beliau sering turun padang dan melakukan tugasnya sebagai wakil rakyat.

"Saya sudah menetap di sini lama jadi saya nampak pimpinan dia (Azmin) amat matang," katanya kepada MalaysiaNow.

"Antara Azmin dengan Amirudin, saya lagi kenal Azmin sebab dia sudah lama jadi ahli Parlimen Gombak."

Bagi Siti Aisyah Husam, sukar untuk meramalkan sama ada Amirudin bakal menjadi pengganti Azmin yang lebih baik atau tidak memandangkan pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor itu belum pernah menyandang kerusi Parlimen Gombak.

Katanya juga, tiada sebab untuk menggantikan Azmin pada masa ini memandangkan kualiti kerja penyandang kerusi Parlimen Gombak itu masih dianggap memuaskan.

"Jika dia (Azmin) sudah banyak berjasa, baik teruskan. 

“Pengundi pun sudah kenal dia," katanya yang bakal mengundi di Gombak untuk kali kedua pada 19 November depan.

Bagaimanapun Aisyah berkata, harapannya sebagai pengundi di kawasan itu ialah supaya mana-mana individu yang dipilih menjadi wakil rakyat Gombak untuk terus menjaga kebajikan masyarakat di situ.

Muhammad Nuraiman Mohd Murad yang bakal mengundi buat kali pertama, mengakui masih belum buat keputusan untuk memilih calon wakil rakyat di kawasan itu.

Ditanya perbandingan antara Azmin dan Amirudin, Nuraiman sifatkan kedua-dua individu itu sebagai "nama besar" namun menganggap Azmin sebagai individu yang lebih berpengalaman.

"Jika dilihat sekali pintas, Azmin adalah MB sebelum Amirudin dan dia juga kini antara menteri Kabinet.

"Tetapi buat masa ini saya belum putuskan nak pilih calon mana sebab persaingan dijangka sangat sengit," kata Nuraiman.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.