PM umum cuti sebelum dan hari mengundi
Beliau berkata cuti tersebut adalah bagi membolehkan rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab mereka untuk mengundi pada pilihan raya umum 19 November ini.
Terkini
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan cuti pada 18 dan 19 November, bagi membolehkan rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15.
Menurut Ismail, cuti pada 19 November diumumkan sebagai hari kelepasan am kerana terdapat kemungkinan syarikat-syarikat swasta, terutama kilang yang tidak tutup pada hari berkenaan, menyebabkan pekerja mereka tidak boleh mengundi.
“Hak mengundi adalah hak yang dijamin oleh Perlembagaan dan saya tidak mahu satu orang pun yang dihalang daripada mengundi,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Wisma Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Putrajaya hari ini.
Turut hadir dalam majlis itu termasuk Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali, Presiden Cuepacs Adnan Mat dan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Putrajaya Tengku Adnan Tengku Mansor.
Pada 8 November lalu, Ismail berkata beliau mempertimbangkan untuk mengumumkan cuti umum khas selepas menerima cadangan pelbagai pihak bagi memudahkan pergerakan rakyat Malaysia ke lokasi mengundi pada PRU15.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November ini sebagai hari pengundian, manakala esok ialah hari pengundian awal.
MENYUSUL LAGI
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.