- Iklan -
Berita

Pasukan petugas, kerajaan akan mohon batal saman Tommy Thomas berhubung memoirnya

Thomas selaku plaintif, memfailkan saman itu dengan menamakan pengerusi pasukan petugas khas itu, Fong Joo Chung, ahli pasukan itu dan kerajaan sebagai defendan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas peguam negara Tommy Thomas.
Bekas peguam negara Tommy Thomas.

Pasukan petugas khas dan kerajaan akan memohon untuk membatalkan saman pemula dikemukakan bekas Peguam Negara Tommy Thomas, berhubung laporan siasatan mengenai kandungan memoirnya bertajuk "My Story: Justice In the Wilderness".

Thomas selaku plaintif, memfailkan saman itu dengan menamakan pengerusi pasukan petugas khas itu, Fong Joo Chung, enam ahli pasukan itu dan kerajaan sebagai defendan.

Selain Fong, ahli pasukan petugas itu ialah Hashim Paijan, Junaidah Kamaruddin, Jagjit Singh Bant Singh, Shaharudin Ali, K Balaguru, Farah Adura Hamidi dan Mohd Najib Surip.

Peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili kesemua defendan ketika dihubungi pemberita berkata permohonan itu, akan difailkan pada atau sebelum 15 Disember ini.

“Kesemua defendan akan memohon untuk membatalkan saman, atas alasan pernyataan tuntutan plaintif mendedahkan kausa yang tidak munasabah, remeh dan suatu penyalahgunaan proses mahkamah,” katanya.

Sementara itu, peguam Lai Wei Shiung mewakili Thomas berkata pada pengurusan hari ini, hakim Mahkamah Tinggi Wan Ahmad Farid Wan Salleh, menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 12 Januari tahun depan.

Thomas, yang merupakan peguam negara antara Jun 2018 hingga Februari 2020, memohon pengisytiharan bahawa, laporan bertajuk "Laporan Pasukan Petugas Khas – Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk My Story: Justice In The Wilderness", merupakan dokumen tidak sah dan bertentangan dengan undang-undang.

Dalam saman pemula itu, beliau berkata penerbitan laporan itu melanggar Seksyen 499 dan 500 Kanun Keseksaan dan/atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau juga memohon deklarasi bahawa penerbitan laporan itu oleh kerajaan, melanggar haknya terhadap reputasinya seperti yang dilindungi oleh Perkara 5(1) dan 13(1) Perlembagaan Persekutuan.

Buku tulisan bekas peguam negara itu diterbitkan pada Januari 2021 dengan pelbagai kontroversi, menyebabkan Kabinet pada 8 Oktober 2021 menubuhkan pasukan petugas khas, untuk menjalankan kajian awal ke atas pendedahan terkandung dalam buku tersebut.

Pada 13 Oktober lalu, kerajaan menyahklasifikasi laporan pasukan petugas khas itu, antara lain mengesyorkan supaya Thomas disiasat atas kemungkinan pelbagai kesalahan.