- Iklan -
Berita

Tanpa Noh Omar, masih sukar tumbangkan BN di Tanjung Karang

Ramai pengundi berkata mereka akan terus menyokong Barisan Nasional walaupun calon bagi kawasan itu ditukar pada pilihan raya umum kali ini.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang mengikat tali di sebuah jeti di kampung nelayan Tanjung Karang, Selangor
Seorang mengikat tali di sebuah jeti di kampung nelayan Tanjung Karang, Selangor

Tan Sing Ka sudah bergelar nelayan sejak empat dekad lalu. 

Hampir setiap hari Masa dihabiskan di Tanjung Karang, tempat kelahirannya.

Dia sudah melalui semua asam garam di kawasan itu. 

Pernah terlibat dengan politik di peringkat akar umbi, kini dia tidak terlalu mengambil tahu akan perkembangan politik terkini. 

Dia hanya mahu masalah sekitarnya diselesaikan. 

"Jalan raya di depan jeti ini teruk. Kalau kita tulis surat minta selesaikan, mereka (pihak berkuasa) tak peduli. 

Deretan bot di sepanjang jeti di kampung nelayann Tanjung Karang, Selangor.
Deretan bot di sepanjang jeti di kampung nelayann Tanjung Karang, Selangor.

"Lainlah kalau wakil rakyat yang minta," katanya ketika ditemui di sebuah perkampungan nelayan di Tanjung Karang.

Selain masalah infrastruktur, kehidupan seharian dan kos sara hidup antara rungutan yang disuarakan.

Tan antara  62,194 pengundi yang akan menentukan pemenang kerusi Parlimen Tanjung Karang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 November ini. 

Penyandangnya, Noh Omar merupakan antara “heavyweight” yang terselamat daripada senarai calon Barisan Nasional (BN) namun tewas pada PRU14 lepas.

Noh memperoleh majoriti 1,970 undi selepas menewaskan Zulkafperi daripada Pakatan Harapan (PH) dan Nor Az Azlan Ahmad daripada PAS.

Beliau tidak dicalonkan kali ini kerana tidak sehaluan dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. 

Noh, yang berjaya mempertahankan kerusi itu sejak 1995 digantikan dengan Habibah Mohd Yusof.

Ketua Wanita Umno Tanjung Karang itu bakal berentap dalam saingan lima penjuru dengan  Azlan Sani Zawawi (Pejuang), Mohd Rosni Mastol (bebas), Zulkafperi Hanafi (Perikatan Nasional), Siti Rahayu Baharin (Pakatan Harapan).

Tan mengakui, Noh akan menang jika dicalonkan lagi namun katanya, Habibah berpeluang menang walaupun dengan majoriti yang kurang berbanding penyandang. 

PSX_20221112_212348

Situasi itu diakui oleh seorang penduduk Kampung Kunci Air Buang, Azli Ayub. 

Katanya, kubu kuat BN itu sukar digugat meskipun ada cakap-cakap mengenai sabotaj oleh kem Noh.

"Memang ada pihak yang tidak berpuas hati, kerana Noh Omar sudah begitu sebati. Tapi sentimen penduduk di di sini memang berat kepada BN.

"Begitu juga kaum belia, tidak nampak mereka condong ke pihak lain," katanya.

Rata-rata penduduk dilihat selesa dengan BN. 

Azli berkata, Noh banyak membantu penduduk dalam usaha menangani banjir sejak dua dekad lalu. 

Tinjauan MalaysiaNow mendapati suasana pilihan raya turut diselang dengan masalah air yang melimpah daripada tali air. 

Di beberapa kawasan, ban yang pecah mengakibatkan air termenung di rumah-rumah yang berada di tepi tali air. 

Namun ia tidak memutuskan semangat penduduk untuk keluar mengundi.

"tu tanggungjawab kita. Saya sebolehnya akan keluar walaupun hari hujan lebat," menurut Mohd Mokthar Yunus yang menjual buah-buahan di pasar awam Tanjung Karang.

Dia tidak segan silu menyatakan sokongannya kepada BN walaupun calonnya sudah bertukar. 

Di perkampungan Nelayan, Tan berkata siapa pun yang menang harus mendengar keluhan rakyat. 

"Kami bukan mahu apa pun, cuma mahu senang cari makan sahaja," katanya.