- Iklan -
Berita

Cuaca mendung bimbangkan pengundi menjelang pilihan raya

MetMalaysia berkata amaran kepada orang ramai akan dikeluarkan sekiranya ramalan cuaca membimbangkan.

Ahmad Mustakim Zulkifli & Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang penunggang motorsikal meredah banjir di Jalan Paip, Meru Klang melewati bendera Barisan Nasional.
Seorang penunggang motorsikal meredah banjir di Jalan Paip, Meru Klang melewati bendera Barisan Nasional.

Cuaca hujan lebat ekoran daripada fenomena monsun timur laut tidak menghalang parti-parti politik meneruskan kempen terutama apabila hanya tinggal beberapa hari sebelum hari mengundi.

Calon yang bertanding ditemani penyokong terus berhimpun di kawasan lapang tanpa bumbung dan sanggup duduk dalam keadaan basah bagi menunjukkan semangat menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Namun begitu, keadaan hujan berterusan mendorong kebimbangan terutamanya bagi pengundi disebabkan beberapa kawasan sudah mengalami banjir kilat seperti di Putrajaya, Shah Alam dan Klang.

Ini kerana mereka bimbang insiden banjir besar seperti yang berlaku pada tahun lalu akan berulang kali ini.

Disebabkan itu, beberapa pengundi ketika ditemui MalaysiaNow mengakui mungkin tidak akan mengambil bahagian dalam pilihan raya kali ini sekiranya berlaku banjir pada hari mengundi.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Lim Ze Hui berkata beberapa negeri dijangka akan mengalami hujan lebat pada waktu pagi ketika hari mengundi.

Bagaimanapun, katanya, situasi itu tidak perlu dibimbangkan kerana cuaca hujan itu dijangka tidak akan berpanjangan sehingga tengah hari.

Kata beliau, negeri yang terlibat ialah Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor serta Barat Sarawak dan Utara Sabah.

"Manakala pada sebelah petang pula, kita jangkakan kawasan pedalaman semenanjung serta Sabah dah Sarawak akan mengalami ribut petir.

"Jadi secara amnya, saya boleh katakan pada hari mengundi nanti, kita tidak menjangkakan keadaan hujan lebat berterusan," katanya dalam temubual eksklusif bersama MalaysiaNow.

Ditanya sama ada terdapat kemungkinan berlaku insiden banjir besar seperti tahun lepas, Lim berkata, perkara ini agak kompleks memandangkan sukar untuk menentukan intensiti hujan.

"Kita boleh menjangkakan hujan dan ribut petir akan berlaku tetapi kelebatan hujan dalam tempoh tersebut agar sukar ditentukan," katanya.

Mengulas lanjut, menurut Lim sekiranya terdapat ramalan cuaca yang membimbangkan, MetMalaysia akan mengeluarkan kenyataan amaran yang dikongsikan secara umum.

"Kemudian agensi berkaitan akan ambil data ini sebelum melaksanakan tindakan lanjut, "katanya sambil menambah MetMalaysia merupakan antara anggota dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara.

Sementara itu, Pengarah eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, berdasarkan tinjauan, 80% pengundi mahu keluar mengundi walaupun terdapat unjuran banjir di kawasan mereka.

"Pada asasnya, mereka akan keluar mengundi. Bagi kelompok pengundi muda, 90% mahu keluar mengundi kerana teruja sebagai pengundi pertama kali.

"Namun ini belum teruji jika betul banjir melanda tempat mereka," katanya kepada MalaysiaNow.

Sementara pemerhati politik, Azizi Safar berkata, situasi banjir tidak semestinya memberi kesan hanya kepada pengundi Melayu atau parti-parti yang bergantung kepada undi bukan Melayu.

"Jika berlaku banjir pada hari mengundi, ia boleh menimbulkan kemarahan pengundi-pengundi, tanpa mengira kaum.

"Parti yang menggesa PRU15 diadakan segera walaupun ada ancaman berlakunya banjir pastinya akan terima akibat dari itu," katanya.

Beliau menjangkakan peratusan keluar undi akan menjadi rendah sekiranya cuaca buruk melanda sesuatu lokaliti.

"Jika keadaan banjir terlalu  buruk hingga menyukarkan proses pengundian, berkemungkinan Suruhanjaya Pilihan Raya akan ambil langkah-langkah perlu bagi mengatasi masalah ini.

"Ada kemungkinan juga, tarikh hari mengundi dipinda atau ditangguhkan kerana bencana banjir," katanya.