- Iklan -
Kandungan Berjenama

Lebih 52% pengundi percaya Ismail perlu terus jadi PM, menurut tinjauan

Kajian terhadap tahap penerimaan kerajaan Ismail dan dasar Keluarga Malaysia oleh Ilham Centre menunjukkan 57% responden setuju pilihan raya umum diadakan tahun ini.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Bernama

Lebih 52% responden dalam kalangan pengundi percaya Ismail Sabri Yaakob wajar diberikan peluang untuk terus menjadi perdana menteri Malaysia, di mana 57% lagi bersetuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada hujung tahun ini.

Kajian Tahap Penerimaan Rakyat terhadap kerajaan dan Dasar Keluarga Malaysia oleh Ilham Centre yang dilakukan pada 20 Oktober hingga 6 November 2022 itu merangkumi 1,211 responden di seluruh semenanjung.

Daripada keseluruhan responden, 52.8% berkata Ismail wajar diberi peluang untuk menjadi perdana menteri bagi tempoh yang lebih panjang bagi kepentingan rakyat berbanding 27.9% yang tidak bersetuju sementara 19.3% lagi mengatakan mereka tidak pasti.

Dalam pada itu, berdasarkan keadaan semasa, sebanyak 56.8% bersetuju pilihan raya perlu diadakan pada hujung  tahun ini, manakala 32.3% lagi tidak bersetuju sementara 10.9% mengatakan mereka tidak pasti.

Kurang dari 50%, iaitu sebanyak 49.1% responden berkata Malaysia mempunyai pencapaian yang baik berbanding negara serantau dalam menangani kesan langsung ekonomi dunia berbanding negara serantau, manakala 25.9% tidak bersetuju dan 24.9% berkata mereka tidak pasti.

Mengambil kira senario politik negara, 45.6% responden bersetuju Ismail adalah pilihan yang wajar sebagai calon perdana menteri, sementarai 33.1% lagi tidak bersetuju dan 21.3% lagi mengatakan mereka tidak pasti.

80% responden bersetuju dengan langkah pentadbiran Ismail membuka semula sektor ekonomi negara pada April 2022, berbanding 6.5% tidak bersetuju dan 13.5% berkata mereka tidak pasti.

Sementara itu, 78.0% responden bersetuju subsidi RM77.7 bilion yang diperuntukkan oleh kerajaan pimpinan Ismail adalah perlu dan menyokong pemulihan ekonomi, manakala 39.9% berkata Majlis Pemulihan Negara yang dipengerusikan oleh bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin adalah pembaziran dana awam dan menyukarkan usaha Ismail dalam menyelesaikan masalah rakyat bagaimanapun 34.1% tidak bersetuju sementara 26% lagi tidak pasti.

Sebanyak 89.1% berkata tindakan kerajaan untuk meningkatkan bayaran Bantuan Keluarga Malaysia kepada RM2,500 adalah "sangat baik", sementara 87.3% bersetuju dengan langkah mengurangkan kadar cukai pendapatan individu pemastautin sebanyak dua mata peratusan.