- Iklan -
Berita

2 'profesor Melayu' tidak diberitahu deklarasi dibuat untuk sokong Anwar

Mereka berkata hanya diberitahu bahawa deklarasi itu dibuat adalah bagi menggesa proses pilihan raya yang telus.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden PKR Anwar Ibrahim ketika kempen di pilihan raya di Sungai Siput menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November ini. Gambar: Bernama
Presiden PKR Anwar Ibrahim ketika kempen di pilihan raya di Sungai Siput menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November ini. Gambar: Bernama

Dua ahli akademik yang disenaraikan dalam deklarasi sekumpulan profesor Melayu yang menggelar diri mereka sebagai G70 menafikan diri mereka terlibat, mengatakan mereka tidak pernah diberitahu deklarasi itu dibuat bagi menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Ishak Yusof yang merupakan bekas timbalan ketua kluster ekonomi Majlis Profesor Negara berkata beliau hanya bersetuju untuk menyokong pemilihan pemimpin terbaik untuk Malaysia.

“Sebagai mantan ahli akademik tulen, saya mengambil pendirian non-partisan di dalam politik dan tidak pernah menyatakan sokongan terbuka terhadap mana-mana individu untuk menjadi perdana menteri atau sokongan pada mana-mana parti,” katanya dalam sebuah hantaran Facebook.

Dalam pada itu, Ahmad Mujahid Ahmad Zaidi yang merupakan timbalan naib canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berkata beliau menyokong prinsip ke arah kestabilan politik, pemulihan ekonomi dan kesejahteraan umum.

“Saya tidak berada dan tidak sama sekali terlibat dengan deklarasi tersebut.

“Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan menyokong mana-mana pemimpin parti politik.

“(Dan) tidak tahu menahu bahawa nama saya dimasukkan dalam senarai deklarasi profesor Melayu G70." 

Kedua-dua Ishak dan Mujahid turut berkata mereka sudah meminta nama mereka dikeluarkan daripada deklarasi tersebut.

Semalam, kumpulan G70 mengadakan sidang media di Petaling Jaya untuk mengisytiharkan sokongan kepada Anwar sebagai perdana menteri.

Antara nama yang terlibat dalam dokumen deklarasi yang dilihat MalaysiaNow itu termasuk beberapa teman rapat presiden PKR itu sejak beliau masih bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), selain pensyarah dari Universiti Islam Antarabangsa di mana Anwar pernah menjadi presiden sebelum beliau dipecat daripada kerajaan pada tahun 1998.

“Setelah membuat pertimbangan sewajarnya terhadap calon-calon perdana menteri, kami berpendirian bahawa Anwar Ibrahim adalah satu-satunya tokoh dengan kewibawaan dan pengalaman serta integriti yang mampu memimpin masyarakat majmuk dengan berteraskan Islam sebagai agama persekutuan, serta memulihkan reputasi negara di mata dunia,” kata deklarasi itu.

Bagaimanapun, Majlis Profesor Negara kemudiannya menjarakkan diri daripada deklarasi kumpulan itu, yang dilihat sebagai usaha untuk meningkatkan penerimaan terhadap Anwar dalam kalangan pengundi Melayu menjelang pilihan raya 19 November ini.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.