- Iklan -
Berita

Balu Nik Aziz tak restu anak tanding PRU bawah PKR

Tuan Sabariah Tuan Ishak berkata beliau tidak pernah merestui anaknya bertanding pilihan raya kecuali dengan tiket PAS.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Balu pemimpin PAS Nik Abdul Aziz Nik Mat, Tuan Sabarian Tuan Ishak (tengah). Gambar: Facebook
Balu pemimpin PAS Nik Abdul Aziz Nik Mat, Tuan Sabarian Tuan Ishak (tengah). Gambar: Facebook

Tuan Sabariah Tuan Ishak yang merupakan balu kepada pemimpin PAS Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau tidak merestui keputusan anak keduanya, Nik Omar Nik Abdul Aziz yang bertanding di bawah tiket PKR.

Dalam sebuah hantaran Facebook rasmi PAS, Tuan Sabariah berkata beliau dan suaminya mendidik anak-anak mereka supaya istiqamah dengan parti Islam itu.

"Saya tidak pernah merestui mana-mana anak saya bertanding dalam mana-mana pilihan raya kecuali di atas tiket PAS.

"Almarhum Tuan Guru dan saya telah mendidik anak-anak kami semenjak dari kecil lagi agar kekal Istiqamah dengan perjuangan Islam bersama parti PAS," katanya dalam kenyataan tersebut.

Pada 26 Oktober lalu, Nik Omar diumumkan sebagai calon PKR bagi Pilihan Raya Umum ke-15, bagaimanapun beliau tidak secara jelas memberikan jawapan sama ada beliau telah meninggalkan Amanah.

"Yang penting kita dalam satu PH.

“Keberadaan di sini untuk komitmen tentang konsisten untuk bawa kerajaan yang berpaksi kepada keadilan," katanya.

Pada pilihan raya umum 2018, Tuan Sabariah turut menentang keputusan Nik Omar untuk bertanding di DUN Chempaka menggunakan tiket parti serpihan PAS, Amanah.

Beliau turut berkempen untuk calon PAS Ahmad Fathan Mahmood yang menentang anaknya di DUN itu.

Nik Omar kalah dalam pertandingan tiga penjuru, di mana Fathan memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 3,474 undi.

Pada pilihan raya umum kali ini, Nik Omar akan bertanding di Parlimen Pasir Salak dalam pertandingan empat penjuru melawan calon Barisan Nasional Khairul Azwan Harun, Jamaluddin Yahya dari Perikatan Nasional dan calon Pejuang Zairol Hizam Zakaria.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.