- Iklan -
Berita

Jangan serang penjawat awam, kata Cuepacs selepas Rafizi mahu ‘cari' ketua SPRM

Cuepacs berkata pegawai kerajaan hanya menjalankan tugas berlandaskan undang-undang tanpa terpengaruh dengan parti politik.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki.

Kesatuan perkhidmatan awam utama negara, Cuepacs mengingatkan ahli politik supaya tidak menyasarkan pegawai kerajaan ketika melakukan kempen pilihan raya ketika ini, dilihat sebagai respons terhadap serangan seorang pemimpin PKR yang menyerang ketua agensi anti rasuah negara Azam Baki.

Cuepacs, yang menghimpunkan lebih 100 kesatuan perkhidmatan awam dengan kira-kira 1.2 juta ahli, berkata terdapat beberapa ahli politik yang menjadi tidak dapat mengawal emosi ketika berkempen di hadapan penyokong mereka.

“Bagaimanapun perkara itu tidak menghalalkan serangan atau ugutan secara terbuka terhadap penjawat awam dilakukan,” kata Presiden Cuepacs Adnan Mat.

Malam tadi, timbalan presiden PKR Rafizi Ramli berkata kerajaan PH akan "mencari" Azam jika memenangi pilihan raya umum hujung minggu ini.

"Sabtu kita undi. Lepas kita menang pilihan raya, kita akan cari Azam Baki," katanya semasa ceramah di Johor Bahru.

Ia susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan mengenai Invoke Solutions, sebuah syarikat berkaitan PKR yang diketuai oleh Rafizi.

Rafizi mendakwa SPRM menyerbu pejabatnya, walaupun badan anti rasuah itu berkata pegawainya hanya berada di sana untuk mendapatkan dokumen berkaitan siasatan.

Adnan berkata siasatan itu tidak sepatutnya diketahui umum seperti yang biasa dibuat dalam semua siasatan yang dijalankan SPRM.

“Perkara itu hanya diketahui oleh umum hanya apabila ahli politik terbabit yang mendedahkannya kepada pihak umum,” katanya.

"Semua pihak harus mengetahui bahawa setiap perkara yang dilakukan oleh penjawat awam adalah berlandaskan undang-undang dan semangat profesionalisme yang tinggi tanpa mengambil kira soal politik kepartian."

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.