- Iklan -
Berita

Kecewa dengan Amanah, calon bebas optimis bertanding di Petaling Jaya

KJ John menolak tanggapan bahawa Petaling Jaya adalah kubu PKR, mengatakan sesiapa sahaja boleh bertanding dalam pilihan raya.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Calon bebas KJ John (dua dari kiri) bersama lima calon lain yang bertanding di kerusi Parlimen Petaling Jaya pada hari penamaan calon 5 November lalu.
Calon bebas KJ John (dua dari kiri) bersama lima calon lain yang bertanding di kerusi Parlimen Petaling Jaya pada hari penamaan calon 5 November lalu.

Meskipun berdepan dalam saingan enam penjuru sebagai satu-satunya calon bebas di Parlimen Petaling Jaya, KJ John tetap optimis dengan peluangnya untuk dipilih sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

Bekas ahli Amanah itu berkata, keputusannya untuk bertanding di kawasan kubu kuat  PKR itu dibuat selepas beliau tidak yakin lagi pada perjuangan Pakatan Harapan (PH) serta parti-parti politik lain.

Katanya, bertanding sebagai calon bebas dianggap sebagai kelebihan utama memandangkan dia tidak terikat dengan arahan pemimpin mana-mana parti sekali gus memudahkannya membawa suara rakyat di Parlimen sekiranya menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Terdahulu, PH pada PRU14 mempertahankan kerusi Parlimen Petaling Jaya menerusi Maria Chin Abdullah, calon yang diketengahkan oleh PKR , namun parti itu kini menggantikan beliau dengan Lee Chean Chung, yang berkhidmat sebagai ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semambu di Pahang sejak 2013.

Bagi John, Petaling Jaya tidak disifatkan sebagai kubu PKR meskipun memenangi majoriti lebih 50,000 pada PRU14, kerana kejayaan itu dipercayai disumbang oleh status Maria sebagai aktivis yang membayangi identitinya sebagai ahli PKR.

"Berdasarkan tinjauan ketika berkempen, sentimen agak bagus," katanya kepada MalaysiaNow.

"Ada yang memberi sokongan malah suka apabila saya nyatakan bahawa saya tidak mewakili mana-mana parti."

Menurut John yang mempunyai ijazah doktor falsafah (PhD) dari George Washington University di Amerika Syarikat (AS) keputusannya untuk tinggalkan Amanah pada Disember 2021 selepas dia menganggap parti itu kurang bersuara dalam PH.

"Jika nak minta Amanah supaya calonkan saya bertanding di Petaling Jaya, sudah tentu tak boleh kerana pendirian PH ialah ini adalah kerusi PKR.

"Mana boleh begitu. Jika Parlimen sudah bubar maka ini adalah kerusi rakyat Malaysia, maka sesiapa sahaja boleh bertanding," katanya John yang sudah menetap di Petaling Jaya sejak 1985.

Selain itu, John berkata, sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat, antara fokus utama yang ingin diperjuangkan melibatkan isu integriti, yang mana ini telah menjadi antara nadi gerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang disertai sejak 17 tahun lalu.