Hujan lebat berterusan sekitar Lembah Klang sejak malam tadi menyebabkan beberapa kawasan dilaporkan terjejas akibat banjir antaranya di Selangor melibatkan Sepang, Hulu Langat, Petaling dan Klang.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Selangor sebanyak tujuh PPS dibuka sejak awal pagi ini melibatkan perpindahan lebih 800 mangsa daripada kira-kira 200 keluarga.
PPS tersebut adalah Dewan Orang Ramai Gemilang, Taman Gemilang di Sepang; Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Semenyih dan Balai Raya Pekan Bangi Lama di Hulu Langat, Dewan Camelia Putra Height dan Masjid Putra Height di Petaling, Masjid Kampung Johan Setia dan Balai MPKK Kampung Jalan Kebun Batu 7 di Klang.
Manakala PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan Jeram di Kuala Selangor serta Dewan Bagan Nakhoda Omar dan Dewan Simpang 5 di Sabak Bernam masih beroperasi sejak 11 November.
Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata satu kejadian tanah runtuh berlaku awal pagi tadi di Taman Sri Jelok, Kajang melibatkan sebuah rumah teres dua tingkat dan empat mangsa berusia 19 hingga 26 tahun berjaya diselamatkan.