- Iklan -
Berita

Sukar bagi isteri presiden PKR pikat pengundi Melayu Bandar Tun Razak

Kebanyakan penduduk dilihat lebih cenderung kepada penyandangnya, Kamarudin Jaffar, yang memenangi kerusi Parlimen itu dengan tiket PKR pada 2018.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Poster memaparkan calon Pakatan Harapan Wan Azizah Wan Ismail dan calon Perikatan Nasional Kamarudin Jaffar digantung di sekitar kawasan flat Sri Kota di Bandar Tun Razak.
Poster memaparkan calon Pakatan Harapan Wan Azizah Wan Ismail dan calon Perikatan Nasional Kamarudin Jaffar digantung di sekitar kawasan flat Sri Kota di Bandar Tun Razak.

Sudah lebih seminggu, kerusi Parlimen Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur menyaksikan persaingan sengit antara tiga calon gabungan politik terbesar negara dalam usaha mendapatkan sokongan pengundi di kawasan itu.

Kini, berbaki hanya beberapa hari sahaja lagi sebelum pengundian pada 19 November, persaingan hangat dapat dilihat daripada calon Pakatan Harapan (PH), Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan penyandangnya, Kamarudin Jaffar dari Perikatan Nasional (PN) yang memenangi kerusi itu atas tiket PKR pada 2018.

Meskipun kerusi itu sudah dipegang PKR sejak 2008, Wan Azizah dijangka berdepan cabaran besar dalam memikat hati pengundi dan seterusnya merampas kerusi itu daripada penyandangnya.

Seorang penduduk di Flat Sri Kota, Jamaliah Jali berkata, sentimen penduduk menolak calon Barisan Nasional (BN) atas faktor kaum, menjadikan persaingan di kawasan itu antara Wan Azizah dan Kamarudin.

BN mempertaruhkan Chew Yee Kin dari MCA.

"Wan Azizah ada datang berkempen tempoh hari, dan ada berjumpa saya di gerai saya ini, tapi saya tengok tak meriah," katanya yang menetap di flat itu selama puluhan tahun kepada MalaysiaNow.

Kira-kira 10,000 penduduk tinggal kawasan perumahan kos rendah itu, menjadikan mereka bank undi yang cukup berharga.

Calon Pakatan Harapan Dr Wan Azizah Wan Ismail berbual dengan anggota tentera dalam lawatannya ke pusat pengundian awal di kem tentera Sungai Besi pada 15 November.
Calon Pakatan Harapan Dr Wan Azizah Wan Ismail berbual dengan anggota tentera dalam lawatannya ke pusat pengundian awal di kem tentera Sungai Besi pada 15 November.

Menurut Jamaliah, meskipun Wan Azizah membawa reputasi sebagai bekas timbalan perdana menteri, namun ia tidak bermakna jika dibandingkan dengan khidmat Kamarudin di kawasan itu.

"Makcik memang suka dia kerana dia selalu datang sini bertemu dengan persatuan penduduk.

"Macam-macam bantuan kami dapat semasa Covid-19," katanya.

Kamarudin menang selesa dengan lebih 19,000 majoriti pada PRU14 lepas, namun persoalan timbul mengenai keselesaan itu mengambil kira faktor tukar parti selepas timbalan menteri luar itu menyertai Bersatu.

MalaysiaNow sebelum ini melaporkan Anwar Ibrahim tu turut menyasarkan kerusi itu, namun presiden PKR itu akhirnya memilih Tambun, Perak sebagai medan pertempurannya.

Berdasarkan pemerhatian, kebanyakan peniaga kecil di Bandar Tun Razak cenderung terhadap BN atas faktor kestabilan, manakala penduduk di perumahan kos rendah cenderung terhadap Kamarudin atas faktor khidmat bakti beliau sebagai ahli Parlimen.

Wan Azizah tidak menunggu lama untuk berkempen apabila sudah mula melawat kawasan dan menyantuni penduduk beberapa hari sebelum penamaan calon lagi.

Beberapa kilometer dari flat itu, di pekan Sungai Besi, reputasi Wan Azizah sebagai timbalan perdana menteri dihantui oleh pengalaman pentadbiran 22 bulan PH dari tempoh 2018 hingga 2020.

Pekerja di sebuah kedai santan, Wan Zulkarnain Wan Bantli, 47, berkata, dia ingin memilih BN atas faktor kestabilan.

"Berdasarkan perbualan dengan kawan-kawan pun, mereka terkesan dengan pentadbiran 22 bulan itu, yang banyak dilihat merugikan orang Melayu," katanya.

Antara isu yang menjadi pertikaian hangat semasa PH mentadbir negara termasuklah usaha meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Tabung Haji dan Statut Rom yang menerima tentangan daripada blok politik Melayu.

Peniaga ayam di Pasar Sungai Besi yang hanya mahu dikenali sebagai Nordin berkata, kestabilan kerajaan menjadi kriterianya dalam memilih wakil rakyat kali ini.

"Susah kalau kerajaan campuran, mereka tak sepakat.

"Saya tiada isu dengan kaum lain, tapi kerajaan biarlah stabil," tambahnya yang sudah 20 tahun berniaga di pasar itu.

Katanya, PH dilihat masih belum bersedia dan utuh untuk mentadbir, berdasarkan pengalaman singkat gabungan berkenaan. 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.