- Iklan -
Berita

Calon ‘underdog’ PN tidak gentar saingan 6 penjuru di Setiawangsa

Peguam dan aktivis Nurul Fadzilah Kamaluddin berkata beliau optimis dengan peluangnya memenangi kerusi itu.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Nurul Fadzilah Kamaluddin mengangkat poster ketika acara kempen di Setapak menjelang hari pengundian.
Nurul Fadzilah Kamaluddin mengangkat poster ketika acara kempen di Setapak menjelang hari pengundian.

Meskipun namanya baru saja mula dikenali di arena politik negara, peguam dan aktivis muda yang mewakili Perikatan Nasional (PN), Nurul Fadzilah Kamaluddin tidak gentar untuk berdepan dengan antara nama besar yang diketengahkan parti politik lain di Parlimen Setiawangsa.

Fadzilah adalah antara calon muda yang memiliki kerjaya profesional diketengahkan PN untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sekali gus menunjukkan komitmen gabungan politik tersebut untuk membawa suara anak muda ke arena politik negara.

Parlimen Setiawangsa menyaksikan pertembungan enam penjuru termasuk penyandang daripada Pakatan Harapan (PH), Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga naib presiden PKR.

Pada PRU14 Nik Nazmi memperoleh majoriti 14,372 undi menewaskan calon daripada Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Menurut Fadzilah yang juga ketua Srikandi Muda Bersatu, politik dilihat sebagai platform terbaik untuk membantu orang ramai dan dia sebenarnya sudah lama aktif dalam bidang itu meskipun sebagai seorang peguam, cuma namanya tidak begitu menonjol.

"Saya semakin aktif pada 2020 apabila kerap berinteraksi dengan orang awam untuk menghulurkan pelbagai bantuan ekoran penularan pandemik Covid-19," katanya kepada MalaysiaNow.

Ditanya mengenai keyakinannya berdepan dengan individu seperti Nik Nazmi, Fadzilah tetap bersikap optimis terhadap peluangnya namun enggan terlalu yakin dan percaya setiap calon mempunyai kekuatan masing-masing.

"Kami tidak ada strategi khusus, tetapi antara sasaran utama ialah menarik undi golongan muda.

"Justeru, selain daripada turun padang, kami juga aktif menggunakan media sosial untuk berkempen dan terus merapatkan hubungan dengan golongan muda," katanya.

Fazilah yang berpengalaman sebagai peguam selama 8 tahun, berkata, sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat Setiawangsa, beliau akan usahakan 10 inisiatif berdasarkan maklum balas yang diterima daripada penduduk kawasan tersebut.

Beliau berkata, antaranya ialah memastikan dirinya atau wakil bagi pihaknya akan hadir setiap jemputan rasmi dan tidak rasmi supaya dapat lebih dekat dengan rakyat dan mendengar suara mereka secara lebih efektif.

"Saya juga ada dapat aduan berhubung isu penjaja yang mana ramai meluahkan pelbagai aduan sudah dibuat tetapi tidak ada sebarang tindakan," tambahnya.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi