Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mengingatkan sekali lagi mengapa rakyat perlu menolak Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim serta Barisan Nasional (BN) yang dipimpin oleh Ahmad Zahid Hamidi daripada dipilih menjadi kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Mengulas mengenai Anwar, Muhyiddin berkata, pengerusi PH itu tidak wajar dipilih menjadi pemimpin apabila dibuktikan bersalah di mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara atas perbuatan yang disifatkan sebagai “tidak senonoh”.
"Dia buat perkara yang tak senonoh, saya tak mahu cerita hal itu (kerana) mual. Saya sebutkan sebab ada terbukti yang disabit kes dan dimasukkan penjara.
"Ya, dia ada terima pengampunan, tetapi faktanya dia sudah disabitkan bersalah," katanya ketika berucap pada Jelajah Perdana PN Best di Pagoh malam tadi.
Menurut Muhyiddin yang juga calon PN bagi kerusi Parlimen Pagoh, Anwar sering menyerangnya secara bertalu-talu sejak kebelakangan ini kerana bimbang tidak dapat sokongan majoriti rakyat memandangkan hari mengundi semakin hampir.
Katanya, presiden PKR menjadikan PN sebagai sasaran utama kerana gabungan terdiri daripada Bersatu, PAS dan Gerakan itu kini lebih popukar.
"Dia buat tuduhan melulu sampai satu tahap ‘gaban’ dan seriau kerana tinggal beberapa jam sahaja lagi dan dia nampak parti dia tak dapat tarik sokongan majoriti rakyat.
"Saya tahu dan dia pun tahu," katanya.
Selain itu, Muhyiddin turut mengkritik Pengerusi DAP Lim Guan Eng.
Katanya, pemimpin DAP itu semakin hilang sokongan kaum Cina ditambah dengan penolakan oleh kaum Melayu sejak dulu lagi.
Beliau turut mengulangi pendiriannya keputusan Bersatu meninggalkan PH adalah sesuatu yang tepat ekoran desakan daripada DAP yang disifatkan sebagai melampau
Beralih kepada BN, Muhyiddin sifatkan gabungan parti yang diketuai oleh Umno ini sudah terkenal dengan salah laku dan rasuah yang berleluasa sejak sekian lama.
Bukti paling kukuh yang dinyatakan ialah pemenjaraan bekas presiden Umno yang juga bekas perdana Menteri, Najib Razak pada Ogos lalu.
"(Dulu) saya tegur dia, waktu saya berada dalam kerajaan sebagai timbalan perdana menteri, dekat mana bossku sekarang?," soal Muhyiddin merujuk kepada hukuman penjara Najib pada Ogos lalu.
Sementara itu, Muhyiddin menyarankan orang ramai supaya membaca manifesto yang ditawarkan bukan saja dari PN tetapi juga dari BN dan PH supaya boleh membuat perbandingan adil untuk menilai dengan sendiri tawaran mana yang disifatkan sebagai munasabah.
Beliau turut menegaskan tawaran PN bukan ibarat janji bulan bintang dan matahari.
Sebaliknya katanya, ia merupakan tawaran yang realistik dan mampu ditunaikan.
"Sebagai seorang Islam, kalau dah berjanji, wajib ditunaikan," katanya.
"Ini janji bagi bulan bintang matahari tetapi satu pun tak dapat ditunaikan," katanya yang merujuk kepada manifesto PH sebelum PRU14.