- Iklan -
Berita

Muhyiddin kuat di Pagoh walau sekali lagi berdepan pertandingan 3 penjuru

Pengundi di kawasan tradisi pengerusi Perikatan Nasional itu berkata label 'kerajaan pintu belakang' tidak jejaskan sokongan mereka.

Teoh Yee Shen
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin meluangkan masa bersama penyokongnya di Kampung Jawa, Lenga, Pagoh pada 17 November. Gambar: Bernama
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin meluangkan masa bersama penyokongnya di Kampung Jawa, Lenga, Pagoh pada 17 November. Gambar: Bernama

Di kawasan Parlimen Pagoh, Johor, sokongan kepada penyandangnya, Muhyiddin Yassin, dilihat semakin meningkat menjelang pilihan raya 19 November ini di mana bekas perdana menteri itu bakal mempertahankan kerusinya untuk kali kesembilan.

Pada 2018, Muhyiddin mengekalkan kerusinya dengan tiket Pakatan Harapan (PH), memenangi 55.21% undi menentang calon PAS Ahmad Nawfal Mahfodz dan Umno, Ismail Mohamed.

Tujuh kemenangannya sebelum itu adalah di bawah bendera Barisan Nasional (BN), mewakili Umno sehingga Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013.

Beliau kemudiannya dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada 2016 selepas dilihat lantang mengkritik cara Najib Razak menangani skandal 1MDB.

Pada tahun yang sama, beliau menubuhkan Bersatu bersama Dr Mahathir Mohamad dan bergabung dengan PH bagi menghadapi pilihan raya umum dua tahun kemudian, bersama PKR, DAP dan Amanah.

Beliau kemudiannya meninggalkan PH pada 2020, dan mengasaskan Perikatan Nasional (PN), gabungan baru yang diwakili Muhyiddin di Pagoh kali ini.

Seorang penduduk yang memperkenalkan dirinya sebagai Jaafar berkata Muhyiddin banyak memberikan sumbangan besar kepada kawasan itu sejak bertahun lamanya.

Warga emas berusia 69 tahun itu juga berkata dia sangat berterima kasih dengan bantuan yang diterima daripada Muhyiddin secara peribadi.

“Ketika anak-anak saya hendak melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) kami tiada wang,” katanya.

"Saya pergi jumpa Muhyiddin untuk mendapatkan bantuan. Dalam masa dua jam, beliau sudah membantu anak-anak saya dengan semua keperluan untuk belajar di universiti, termasuk wang saku."

Muhyiddin, yang menjadi menteri besar Johor dari 1986 hingga 1995, menerima kecaman daripada bekas rakan-rakannya dari PH selepas keluar daripada gabungan itu, di mana beliau dituduh menubuhkan “kerajaan pintu belakang" apabila PN mengambil alih Putrajaya.

Namun, penduduk Pagoh dilihat tidak terpengaruh dengan label yang diberikan itu.

Sebahagian besar mereka menumpukan prestasinya selama berkhidmat dalam tempoh yang panjang di kawasan itu.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Jaafar turut mengimbas kembali bagaimana Muhyiddin menubuhkan hab universiti di Pagoh yang mencipta peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Rakan-rakan saya bekerja di sana sebagai pengawal keselamatan dan penyedia makanan, dan mereka mampu menyara keluarga,” katanya.

Sementara itu, isterinya, Kak Yah berkata, di Pagoh mereka tidak pernah berasa diabaikan sepanjang Muhyiddin mewakili mereka di Parlimen.

"Beliau tidak perlu berkempen untuk diri sendiri di Pagoh, kita boleh jaga Pagoh bagi pihaknya," katanya.

Sementara itu, Awang Junaidi yang menjadi pengundi di Pagoh sejak PRU11 berkata dia banyak mendengar komen negatif mengenai Muhyiddin dan "kerajaan pintu belakangnya", tetapi tidak pernah percaya apa yang didakwa itu.

“Setahu saya, beliau seorang yang ada kredibiliti.

"Muhyiddin sepatutnya mengetuai kerajaan. Pada Mac 2020, PN menjadi kerajaan pada masa yang tepat,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini, Muhyiddin sekali lagi berdepan pertandingan tiga penjuru menentang di mana beliau akan berdepan calon BN dan PH. 

Calon BN adalah Razali Ibrahim sementara Iskandar Shah mewakili PH.

Razali yang merupakan ahli Parlimen Muar selama tiga penggal, tewas kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada pilihan raya umum 2018.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.