- Iklan -
Berita

Peja bukan pelawak, tapi bijak kawal emosi, kata rakan baik

Mereka yang pernah bekerja dan melakukan program bersama Ahmad Faizal Azumu menceritakan pengalaman bersama calon Perikatan Nasional di Tambun itu.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Calon Perikatan Nasional Ahmad Faizal Azumu (dua dari kiri) mendengar perbualan bersama pasukan jentera pilihan raya di Meru, Perak.
Calon Perikatan Nasional Ahmad Faizal Azumu (dua dari kiri) mendengar perbualan bersama pasukan jentera pilihan raya di Meru, Perak.

Hamid tertawa ketika mengenang persahabatannya yang sudah lama terjalin dengan Ahmad Faizal Azumu yang kini bertanding untuk mempertahankan kerusi Tambun, mengatakan mereka pernah bersama-sama aktif dalam politik sebelum masing-masing membawa haluan sendiri.

Beliau yang menjalankan perniagaan gerai makanan berkata persahabatannya dengan Faizal atau lebih dikenali sebagai Peja sudah bermula sejak kecil di Kampung Manjoi.

Katanya, Faizal mula aktif dalam politik sebagai Pemuda Umno seawal dua dekad lalu. 

"Dia (pemuda) di Ipoh Barat, saya pula di Gopeng. Kami selalu pergi perhimpunan Umno di Kuala Lumpur dulu bersama-sama," katanya dalam satu temu bual ringkas bersama MalaysiaNow. 

Perawakan Faizal atau Peja yang gemar berseloroh dan membuat kenyataan berbaur usikan ketika menjalankan tugas menjadikan beliau terkenal.

Ia bahkan turut mengundang kritikan, di mana ada yang mengatakan sikapnya itu menunjukkan beliau tiada ciri sebagai seorang pemimpin.

Bagaimanapun, Hamid menolak andaian tersebut.

Katanya, di sebalik sikapnya yang gemar berjenaka, Faizal sememangnya calon pemimpin yang profesional. 

"Dia pandai sorok emosi. Dia sentiasa gembira dan tenang. 

“Dia berseronok dan gelak ketawa untuk sembunyikan tekanan dia, perasaan dia yang orang lain tak tahu. 

"Sebab itu dia menyanyi, berjoget. Faizal ni memang sifatnya gembira sahaja. Positif." 

Atas sebab itu, kata Hamid menjadi sesuatu yang tidak adil untuk menilai rakannya itu dengan video-video nyanyian dan tariannya yang tular di media sosial. 

Ini kerana ketika waktu bekerja, Faizal amat serius dan fokus serta tidak akan mencampur adukkan urusan lain sehingga tugasnya selesai seperti yang dirancang.

Poster kelakar untuk turunkan ‘suhu’ di Tambun

Selain terkenal dengan gayanya yang sering bersahaja, kempen Faizal di Tambun turut dipenuhi poster-poster kreatif, di mana slogan kempen dilihat saling menyindir antara beliau dengan pesaingnya, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim.

Dalam ceramahnya, Faizal menjelaskan kempennya dibuat sedemikian rupa bagi menjawab ceramah PH yang sering bernada negatif dan marah.

"Kenapa marah-marah? Be cool (bertenang). 

"Saya berikan poster kelakar nak bagi turunkan suhu di Tambun. Kenapa nak stres?" katanya. 

Dalam pada itu, Ahmad, 25, ketika ditanya mengenai personaliti Faizal, mengakui dia dan rakan-rakannya senang berkerjasama dengan Faizal kerana beliau tidak pernah mengenepikan pandangan anak muda walaupun mereka sekadar "budak kampung". 

"Bila kerja dia tak jadi bos. Dia dengar cadangan kami. Ada juga yang ditolak tapi dia dengar dulu sampai habis. 

"Bila program selesai dia rapat betul dah macam kawan-kawan. Dia tak anggap kami macam budak. Tapi kawan-kawan dia. 

"Rasa kekok juga boleh ke kawan dengan menteri. Tapi dia memang sempoi," katanya kepada MalaysiaNow. 

Ahmad bersetuju dengan Hamid bahawa Faizal tidak boleh dinilai "separuh jalan" sahaja. 

Tambahnya, mengenali Faizal pada satu sisi yang tular di media sosial tidak memadai kerana satu sisi lagi tidak ditunjukkan. 

"Banyak lagi kebaikan dia yang tak ditunjukkan (kepada umum)."

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.