Penganalisis berkata peluang DAP untuk memenangi kerusi dengan meletakkan calon Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini adalah bergantung kepada bilangan komposisi pengundi di kawasan ditandinginya.
Strategi DAP itu dibuat ketika tinjauan mendapati sokongan Melayu terhadap Pakatan Harapan (PH) semakin menurun, di mana parti itu membuat keputusan meletakkan sembilan calon Melayu dalam persaingan merebut kerusi Parlimen dan empat calon di peringkat negeri.
Di Johor, parti itu meletakkan Sheikh Umar Bagharib Ali di Ayer Hitam, Fatin Zulaikha Zaidi (Mersing), and Shazwan Zdainal Abidin (Pontian).
Sementara di Kedah, DAP meletakkan Zulhazmi Shariff (Jerai), dan di Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (Lipis) and Young Syefura Othman (Bentong).
DAP turut meletakkan Ahmad Tarmizi Mohd Jam di Gerik, Perak, Syahredzan Johan di Bangi, Selangor, manakala Syerleena Abdul Rahid di Bukit Bendera, Pulau Pinang.
Di peringkat negeri, DAP meletakkan Zulpuri dan Muhammad Khairil Khalid di Pahang, sementara Abdul Aziz Bari dan Badrul Hisham Badarudin di Perak.
Pertaruhan yang dibuat oleh DAP dilihat sangat berisiko di Bentong dan Ayer Hitam.
Di Parlimen Ayer Hitam, Sheikh Umar bakal berdepan veteran politik dan penyandangnya sendiri, iaitu Presiden MCA Wee Ka Siong.
Pada 2018, DAP hampir mengalahkan Wee apabila calonnya, Liew Chin Tong hanya kalah dengan 303 undi.
Penganalisis politik Ahmad Atory Hussain berkata calon Melayu DAP berpeluang menang di kerusi yang komposisi pengundi Cina lebih dari 65% daripada keseluruhan pengundi.
Bagaimanapun Atory mengingatkan bahawa ia juga bergantung kepada calon yang diletakkan oleh parti lain.
"Jika undi Cina dipecahkan antara calon Cina yang lain, calon Melayu DAP mungkin kalah," katanya.
Di Ayer Hitam, lebih 50% pengundi adalah Melayu.
Sementara di Lipis, kerusi baru ditandingi DAP itu dianggap sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN) di mana Melayu membentuk 78% pengundi diikuti Cina (16%), India (5%) dan lain-lain (1%).
Sebelum ini, DAP yang sering dianggap sebagai parti orang Cina mencuba nasibnya meletakkan calon Melayu di mana ia dianggap sebagai percubaan untuk mendapatkan lebih banyak sokongan masyarakat selain Cina.
Pada 2014, Pilihan Raya Kecil Teluk Intan, parti itu meletakkan Dyana Sofya Mohd Daud bagi menentang presiden Gerakan ketika itu, Mah Siew Keong.
Bagaimanapun, Mah akhirnya berjaya memenangi pilihan raya yang sengit dan hanya menerima 50.30% undian sementara Dyana sebanyak 49.70%.
Objektif
Penganalisis politik Tang Ah Chai berkata kemungkinan langkah DAP menamakan calon Melayu itu adalah untuk mencapai dua objektif.
"Pertama, perlahan-lahan untuk ubah tanggapan parti majoriti Cina kepada parti berbilang kaum, dan kedua, menjadikan penamaan calon Melayu sebagai kebiasaan bagi pilihan raya akan datang," katanya.
Beliau berkata ini akan menyumbang dalam usahanya mendapatkan penerimaan masyarakat berbilang kaum dalam kalangan pengundi.
Tanpa mengambil kira nasib calon Melayu DAP pada pilihan raya kali ini, Tang dan Atory bagaimanapun bersetuju kebangkitan semula MCA sejak pilihan raya 2018 tidak dapat menjamin gelombang kemenangan yang sama untuk parti komponen BN itu.
MCA mengalami kekalahan teruk di seluruh negara pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), di mana hanya Wee sahaja berjaya menduduki kerusi Parlimen daripada parti itu.
Pada tahun 2019, parti itu mendapat seorang lagi ahli Parlimen dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai apabila Wee Jeck Seng menang selepas menerima lebih 15,000 undi.
BN juga meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri Johor pada Mac, di mana MCA memenangi beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang DAP seperti Yong Peng, Paloh dan Pekan Nanas.
Tang berkata MCA mungkin mempunyai peluang lebih baik hujung minggu ini di kerusi seperti Labis, Ayer Hitam dan Tanjung Piai.
“Namun apa yang berlaku dalam pilihan raya sebelum ini tidak semestinya akan berulang lagi,” tambahnya.
"Di kawasan lain seperti Kuala Lumpur dan Selangor, MCA tak ada peluang - juga di Pulau Pinang."
Sementara itu, Atory turut berkata MCA akan berdepan kesukaran untuk mendapatkan semula sokongan ketika DAP berjaya mengumpulkan undi Cina.
"Peratusan keluar mengundi yang kurang dari 65% menjadikan MCA dapat memenangi beberapa kerusi pada PRN Johor," katanya.
"Tetapi jika peratusan keluar mengundi melebihi 75%, BN mungkin kalah. Jadi, kemenangan BN di Johor bukanlah kayu pengukur untuk pilihan raya 19 November ini.”