- Iklan -
Berita

PH bertungkus lumus, PN bertenang menuju pusingan akhir kempen di Tambun

Kedua-dua gabungan politik itu kini dalam fasa akhir kempen pilihan raya sebelum hari pengundian esok.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Poster gergasi Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim dan replika kereta kebal diletakkan di hadapan meriam berbalut bendera Perikatan Nasional di sebuah jalan raya di Tambun, Perak.
Poster gergasi Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim dan replika kereta kebal diletakkan di hadapan meriam berbalut bendera Perikatan Nasional di sebuah jalan raya di Tambun, Perak.

Pergerakan kempen bagi calon-calon di Tambun, Perak dilihat berbeza di sebalik pusingan akhir sebelum hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal berlangsung pada Sabtu ini di seluruh negara. 

Tinjauan MalaysiaNow selama dua hari di kerusi yang disifatkan paling "panas" pada PRU15 ini mendapati terdapat beberapa pihak yang bergelut untuk mendapatkan sokongan terutamanya dalam kalangan orang Melayu dan kawasan luar bandar daerah itu. 

Ini terutamanya kepada petugas-petugas bagi kem Pakatan Harapan (PH) yang giat melakukan rondaan di sekitar Tambun hingga waktu malam. 

Berdekatan dengan bilik gerakan utama PH, MalaysiaNow bertemu sebuah kenderaan pasukan yang mengangkut berpuluh batang bendera dan logo gabungan itu dalam perjalanan mencari lokasi untuk memasangnya. 

"Bos suruh pasang, bagi penuh. Tengok la mana ada lagi tempat. 

"Area taman-taman rumah Melayu sebab sana banyak bendera biru," kata pemuda yang duduk di belakang kenderaan pacuan empat roda kepada MalaysiaNow.

Manakala Man, seorang penduduk Kampung Tengku Hussein di Manjoi berkata orang kampung masih menunggu ketibaan calon perdana menteri itu hadir bertemu mereka di situ. 

"Dia belum lagi datang jalan rumah ke rumah menyantuni kami. 

“Saya tahu dia datang tempoh hari bawa Awie sahaja," katanya merujuk kepada Program Tambun Berselawat bersama Anwar di Stadium Mini Manjoi pada malam Isnin.

PN dalam keadaan tenang 

Sementara itu, di Gugusan Kampung Manjoi pula, seorang petugas bilik gerakan Perikatan Nasional (PN) Hamid memberitahu gabungan itu kini dalam keadaan reda dan bertenang selepas bertungkus lumus berkerja menjalankan kempen selama lebih dua minggu. 

Katanya, perbualan terakhirnya dengan calon PN Ahmad Faizal Azumu supaya gabungan itu menjaga nama baik dan reputasi yang amat cemerlang dalam kalangan pengundi kompleks kampung terbesar di Malaysia itu. 

"Jangan buat benda yang menyakitkan hati orang contohnya ajak budak-budak motor pergi kempen bawa bendera. 

"Bising, orang tak suka. Kita rileks sahaja. Bertenang. Serahkan kepada Tuhan," katanya kepada MalaysiaNow. 

Katanya, bermula malam ini dan esok bilik-bilik gerakan PN akan memulakan sesi munajat, solat hajat berjemaah dan zikir sementara menunggu hari mengundi yang semakin menghampiri. 

"Itu sahaja kerja kita. Semua usaha sudah dilakukan, pada akhirnya kita serahkan kepada-Nya." 

Sebelum ini, pemerhati politik tempatan berpandangan Anwar Ibrahim sedang bergelut mendapatkan sokongan pengundi Melayu ketika tinjauan menunjukkan ia berdepan defisit kepercayaan dalam kalangan kaum itu. 

Bagaimanapun, dalam siri jelajah dan ceramah PH, Anwar berulang kali menolak dakwaan yang mengatakan sokongan terhadap PH di kawasan pedalaman sudah berkurangan.  

"Itu andaian yang tidak semestinya tepat, sebab itu dia gunakan fitnah dan serangan yang kasar terhadap DAP dan salah satunya ialah saya berkawan dengan DAP," katanya dipetik dalam temu bual eksklusif bersama Astro Awani. 

BN dan GTA hilang dari radar 

Pada perkembangan sama, usaha untuk mencari kempen calon Barisan Nasional (BN) dan Gerakan Tanah Air (GTA) selama dua hari gagal dikesan. 

Rata-rata pengundi di kawasan bandar Tambun memberitahu mereka juga tidak pernah dikunjungi calon dari kedua-dua parti itu sejak kempen pilihan raya bermula. 

"Mereka nampaknya memang tak ada peluang. 

“Kita dah kenal siapa sebenarnya BN dan calon GTA tidak dikenali," kata Ummi, seorang peniaga goreng pisang dan minuman. 

PRU15 menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Anwar, Faizal, Abdul Rahim Tahir (GTA) dan Aminuddin Md Hanafiah (BN).