- Iklan -
Berita

Umat Islam wajib mengundi, jangan pilih pemimpin ‘minta jawatan’

Khutbah Jumaat hari ini memberikan panduan bagaimana memilih pemimpin yang memberi manfaat kepada agama, negara dan umat Islam.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai menunggu khutbah Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad di Sepang.
Orang ramai menunggu khutbah Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad di Sepang.

Khutbah Jumaat di masjid-masjid Selangor hari ini menegaskan umat Islam wajib keluar mengundi untuk menentukan masa depan agama, negara dan umat, mengatakan sesiapa yang mengabaikannya dianggap berdosa dan melanggar perintah Allah.

Teks khutbah sebanyak 12 muka surat yang disediakan unit pengurusan masjid Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) itu berkata kewajipan tersebut adalah bagi membentuk pentadbiran yang bertanggungjawab.

“Mengundi adalah satu kewajipan bagi umat Islam. Ia adalah untuk membentuk pemerintahan yang bertanggungjawab.

“Jika pemimpin dipilih tidak tepat dan tidak layak, maka kepentingan masyarakat dan negara tidak dapat diberi keutamaan sewajarnya,” kata khutbah itu sambil menegaskan kewajipan melaksanakan sistem perundangan dan permuafakan yang menjamin kemakmuran.

Bagi tujuan mencapai kewajipan pemerintahan sedemikian, teks itu mengatakan pilihan raya adalah cara bagi memenuhi tuntutan tersebut di mana ia bertepatan dengan kaedah fekah.

“Sesuatu yang tidak sempurna kewajipan melainkan dengannya, maka ia menjadi wajib.” 

Dalam pada itu, ia turut memberi panduan mengundi antaranya, memastikan calon yang dipilih harus memberi manfaat dan memliahat kedudukan agama dan hak umat Islam dan seluruh rakyat berbilang bangsa, selain wajib memilih calon yang memiliki keimanan kepada Allah, beirilmu dan berakhlak.

Ia turut melarang umat Islam memilih calon yang melakukan maksiat secara terang-terang dan memusuhi Allah dan Nabi Muhammad dan pemimpin “yang meminta jawatan melalui cara yang tidak baik”.

Tema khutbah hari ini turut bertepatan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan berlangsung esok di mana tempoh kempen bakal berakhir tengah malam ini.

Ia juga merupakan PRU yang merekodkan paling ramai calon dalam sejarah pelaksanaan pilihan raya di mana 945 calon akan bertanding untuk merebut 222 kerusi Parlimen.

Sementara 441 calon bakal merebut kerusi di tiga Dewan Undangan Negera termasuk Perak, Pahang dan Perlis selain satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Bugaya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.