- Iklan -
Berita

3 pengundi meninggal dunia ketika tunggu giliran mengundi

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata dua kematian berlaku di Johor manakala satu di Kelantan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani bercakap kepada pemberita pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama
Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani bercakap kepada pemberita pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama

Polis mengesahkan tiga pengundi meninggal dunia ketika menunggu giliran untuk mengundi pada Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) hari ini.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata dua kematian berlaku di Johor manakala satu di Kelantan.

“Tiga kejadian yang agak mendukacitakan yang mana pengundi ini ada masalah kesihatan dan meninggal dunia masa beratur untuk mengundi,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Polis Gombak hari ini.

Acryl berkata semasa proses pengundian hari ini, terdapat satu insiden terpencil melibatkan seorang lelaki berusia 23 tahun, yang juga pesakit mental, bertindak di luar kawalan dengan merampas sebotol dakwat dan menolak jatuh peti undi di Sekolah Kebangsaan Ulu Yam Lama, Batang Kali, Selangor.

Mengenai kejadian di Johor, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri dalam kenyataan menjelaskan kedua-duanya adalah warga emas berusia 85 tahun yang meninggal dunia, masing-masing di pusat mengundi Parlimen Sembrong dan Parlimen Pulai, pagi tadi.

Menurut SPR, Sh Juhara Syed Mohamad meninggal dunia pada 9.30 pagi di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail, Johor Bahru.

"(Pengundi) didapati mengalami kematian mengejut selepas mengundi dan mengalami sesak nafas. 

"Pengundi tersebut didapati hadir ke saluran dalam keadaan tidak sihat hasil pemerhatian petugas saluran tetapi ingin meneruskan pengundian," menurut kenyataan itu. 

Menurut kenyataan itu, Tuminah Ambiah pula meninggal dunia secara mengejut pada 10.21 pagi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lit Terk, Kluang.

“Warga emas itu meninggal dunia secara mengejut sebelum mengundi dan kematiannya disahkan oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia yang berada di tempat kejadian,” menurut SPR Johor.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.