- Iklan -
Berita

Polis larang perarakan rai kemenangan parti di Labuan

Ketua Polis Labuan Ahmad Jawila berkata keputusan itu dibuat demi menjamin keselamatan awam.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pengundi warga emas dan orang kurang upaya beratur di saluran satu bagi menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Sungai Lada, Labuan hari ini. Gambar: Bernama

Polis Labuan akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja yang menganjurkan atau menyertai mana-mana perarakan bagi meraikan calon yang menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Polis Labuan Ahmad Jawila berkata keputusan itu dibuat demi menjamin keselamatan awam.

“Sama ada di kampung, kawasan perumahan atau di pusat bandar, kita tidak akan membenarkan sebarang perarakan meraikan kemenangan calon selepas pengumuman dibuat oleh Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kami tidak akan meluluskan sebarang permohonan daripada mana-mana pihak yang ingin menganjurkan perarakan sedemikian. Kami memahami bahawa secara tradisinya, penyokong akan  menganjurkan perarakan untuk meraikan calon yang menang.

“Namun, terdapat risiko serius jika keadaan menjadi tidak terkawal,” katanya kepada pemberita selepas melawat 19 pusat mengundi di sini hari ini.

Ahmad Jawila turut menasihati agar kemenangan calon diraikan tanpa minum minuman keras.

"Polis akan memantau kumpulan terlibat untuk memastikan tiada keganasan berlaku, jika sambutan tidak terkawal, maka polis akan campur tangan," katanya.

Ahmad Jawila turut menyeru semua penyokong dan calon supaya menerima keputusan pilihan raya seperti yang diisytiharkan oleh SPR.