- Iklan -
Berita

Tawar-menawar bakal tentukan kerajaan baru selepas PRU15

Tiga gabungan utama dijangka tidak dapat meraih majoriti mutlak di mana kerajaan baru mungkin ditubuhkan melalui cara rundingan dan tawar-menawar selepas pilihan raya.

Kongsi
Seorang lelaki melintas jambatan dipenuhi bendera gabungan parti politik sepanjang kempen pilihan raya di Tambun, Perak.
Seorang lelaki melintas jambatan dipenuhi bendera gabungan parti politik sepanjang kempen pilihan raya di Tambun, Perak.

Lebih 21 juta pengundi berdaftar akan memilih kerajaan baru hari ini selepas dua minggu tempoh kempen yang berakhir tengah malam tadi.

Daripada jumlah itu, seramai 5.7 juta warganegara berusia 18 tahun secara automatik sebagai pengundi baru, manakala 6.58% atau hampir 1.4 juta merupakan kelompok pengundi berusia 18 hingga 21 tahun.

PRU15 diadakan secara pramatang apabila perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob ditekan oleh kluster mahkamah Umno yang dipimpin Ahmad Zahid Hamidi agar membubarkan Parlimen dengan segera.

Parlimen tetap dibubarkan meskipun Jabatan Meteorologi Malaysia tidak menggalakkan aktiviti seperti PRU15 diadakan ketika negara sedang memasuki fasa Monsun Timur Laut.

Dan nasihat itu menjadi realiti apabila sebahagian lokaliti terkena banjir, antaranya Meru, Kapar, Dengkil dan Kuala Selangor.

Kempen sebenarnya sudah bermula jauh lebih awal daripada hari penamaan calon dua minggu lalu.

Barisan Nasional (BN), yang yakin dapat mengulang prestasi Melaka dan Johor bagaimanapun tempang akibat peperangan dalam parti antara faksi-faksi, yang menyaksikan beberapa nama besar digugurkan.

PRU15 dikatakan paling sukar diramal.

Sehingga saat-saat terakhir, pengundi masih berteka-teki siapa yang ingin diundi.

Jika dahulu, pilihannya antara dua blok utama, kali ini ada tiga blok di Semenanjung yang bermati-matian ingin membentuk kerajaan tanpa perlu bersama mana-mana gabungan lain.

Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) menjadi pemain utama bagi merebut 165 kerusi di Semananjung manakala Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dijangka mengekalkan status quo di dua negeri Borneo itu.

PN pertama kali menyertai PRU15 selepas gabungan itu dibentuk daripada Bersatu, PAS, Gerakan dan dua parti Sabah.

Ia dilihat sebagai alternatif untuk pengundi Melayu yang tidak menggemari BN atau PH.

Persaingan tertumpu di beberapa kerusi utama, antaranya Tambun yang menyaksikan pertembungan Presiden PKR Anwar Ibrahim dan penyandang kerusi, Ahmad Faizal Azumu yang juga timbalan presiden Bersatu.

Tambun antara kerusi yang meriah dan terasa demam politiknya dengan perang papan tanda antara kedua-dua calon tersebut.

Gombak turut mencuri tumpuan apabila penyandang, Mohamed Azmin Ali bertemu dengan bekas anak buahnya dalam PKR yang juga Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dalam pertandingan lima penjuru.

Selain itu, Khairy Jamaludin yang juga menteri kesihatan ditugaskan merobohkan kubu kuat PKR di Sungai Buloh.

Khairy dan Zahid terlibat dalam “friendly fire” antara satu sama lain sepanjang kempen, apabila bekas ahli Parlimen Rembau itu berterus-terang mengenai cita-citanya menjadi perdana menteri.  

Meskipun PRU15 kali ini banyak diperkatakan, dan menjadi paling sengit dengan 945 calon, gelombang 2018 tidak kelihatan apabila ceramah “grand finale” Anwar di Gombak hanya menarik 5,000 penonton, berbanding puluhan ribu pada PRU14.

Faktor “poster boy” tidak lagi memainkan peranan besar kali ini.

Kelesuan politik, kehidupan yang terjejas akibat dua tahun pandemik Covid-19 mungkin membuatkan ramai lebih selesa mendapatkan maklumat di laman sosial.

Isu tempatan dan calon tempatan turut menjadi tumpuan pada PRU15, apabila semakin ramai tidak mahu calon payung terjun dan nomad di kawasan mereka.

Tidak dilupakan, undi orang Melayu di kawasan luar bandar sebagai penentu kemenangan PRU15.

Undi Melayu antara subjek perbincangan pada PRU15 apabila semua gabungan dilihat mencari undi kaum itu.

Undi bukan Melayu secara umumnya jitu kepada PH.

Pada PRU14, tsunami Melayu yang dibawa oleh mantan perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad menerusi Bersatu berjaya menumbangkan BN yang mentadbir selama 60 tahun.

Ini kerana jumlah kerusi Parlimen di luar bandar dan pedalaman termasuk kawasan penempatan Felda mempunyai lebih separuh daripada keseluruhan 222 kerusi dipertandingkan iaitu sebanyak 155 kerusi.

Ekoran perubahan landskap politik negara dan krisis kesihatan sejak dua tahun lalu, pengundi Melayu di kawasan-kawasan ini dilihat semakin bersifat terbuka terhadap permintaan politik masing-masing.

Ini termasuk isu pembangunan, perkembangan pendidikan, akses kepada liputan internet, peluang kerja dan infrastruktur baru di kawasan kampung.

Memandangkan kabus perang (fog of war) masih tebal, pembentukan kerajaan baru akan ditentukan oleh kecekapan tawar-menawar, atau horse trading antara gabungan yang bertanding yang mana GPS dan GRS bakal menjadi king maker dalam menentukan blok mana yang berjaya ke Putrajaya.