- Iklan -
Berita

Premier Sarawak jumpa Muhyiddin, Hadi, PN dijangka tubuh kerajaan

Pertemuan tersebut memberi isyarat yang jelas bahawa GPS cenderung bersama dengan PN bagi penubuhan kerajaan baru.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang (kiri) ketika pertemuan bersama Premier Sarawak Abang Johari Openg (kanan) hari ini. Gambar: Facebook
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang (kiri) ketika pertemuan bersama Premier Sarawak Abang Johari Openg (kanan) hari ini. Gambar: Facebook

Premier Sarawak Abang Johari Openg terbang ke Kuala Lumpur hari ini untuk bertemu dengan pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN), beberapa jam selepas gabungan yang diterajuinya mendapat kemenangan terbesar, di mana ia mampu menarik rakan kongsi lain untuk menubuhkan kerajaan persekutuan di Putrajaya.

Pertemuan tersebut adalah isyarat jelas Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memenangi 22 kerusi Parlimen bakal menjadi “kingmaker” dalam pertarungan merebut angka majoriti sedang berpihak kepada PN yang dipimpin Muhyiddin Yassin.

"Rundingan juga sedang dibuat dengan parti-parti lain yang sehaluan dan ahli Parlimen bebas. Insya Allah, kerajaan persekutuan akan dapat dibentuk dalam masa terdekat," kata Muhyiddin.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut adalah Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

PN memenangi 73 kerusi dalam keputusan terakhir yang diumumkan semalam, selepas tsunami sokongan Melayu yang melanda gabungan itu menyebabkan Umno tersungkur di beberapa kerusi tradisinya.

Sementara itu, Pakatan Harapan (PH) mendapat 81 kerusi, namun sejarah perselisihan antara kedua-dua gabungan itu menyebabkan kemungkinan blok terbesar di Sarawak itu tidak akan menerima tawaran untuk menyertai gabungan diterajui Anwar itu.

Pada 2020, susulan kejatuhan kerajaan PH, GPS dan PAS bersetuju untuk bersama dengan Bersatu di samping Umno bagi mendukung Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Pentadbiran kerajaan yang diterajui Muhyiddin selama 17 bulan juga turut menyaksikan banyak tuntutan kerajaan negeri Sarawak diperolehi, termasuk royalti petroleum yang bernilai berbilion ringgit.