- Iklan -
Berita

Terus berunding, kami kerja seperti biasa, kakitangan awam beritahu ahli politik

Mereka menggesa ahli politik supaya berunding bagi mendapatkan penyelesaian yang baik dalam merungkai drama politik selepas pilihan raya umum baru-baru ini.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Penjawat awam ketika rehat tengah hari mengunjungi gerai-gerai di sebelah bangunan kerajaan di Putrajaya.
Penjawat awam ketika rehat tengah hari mengunjungi gerai-gerai di sebelah bangunan kerajaan di Putrajaya.

Jam tepat menunjukkan pukul 1.00 tengah hari apabila segerombolan kakitangan awam berdekatan Presint 3, Putrajaya keluar beramai-ramai untuk waktu makan tengah hari. 

Mereka dilihat masih dalam keadaan ceria dan bersemangat melayani pelanggan di kaunter-kaunter kementerian meskipun kemelut penubuhan kerajaan pusat pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih berterusan. 

Tinjauan MalaysiaNow ke daerah penjawat awam itu menyaksikan pergerakan harian tugas-tugas pentadbiran negara masih berjalan lancar sementara menunggu pengumuman lantikan perdana menteri baru untuk mengemudi mereka bagi lima tahun akan datang. 

Bercakap kepada MalaysiaNow, seorang pegawai di Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan mahu dikenali sebagai Amelia berkata, beliau masih selesa menjalankan rutin hariannya dan tidak terganggu dengan kekecohan politik yang kian "menggila" sedang berlaku di Kuala Lumpur. 

Katanya, dia dan rakan-rakannya di pejabat tidak terlepas sebarang perkembangan terkini yang berlaku di Istana Negara dan hotel-hotel terkemuka di ibu negara. 

Selama 11 tahun berkhidmat, dia sudah berdepan dengan beberapa siri pilihan raya. 

Katanya, rundingan perlu diteruskan dan dia tidak begitu bimbang dengan tempoh masa yang diambil oleh semua pihak dalam mengakhiri krisis tersebut. 

"Jangan tergesa-gesa, teruskan bincang dan runding sampai jumpa jalan penyelesaian. 

"Kami akan teruskan kerja macam biasa. Yang penting rundingan mesti selesai dan tidak berbangkit lagi beberapa tahun akan datang. Itu yang akan menyusahkan kami. 

"Bincang betul-betul bagi setel. Kami bokeh tunggu," katanya kepada MalaysiaNow. 

Menurut Amelia, sebagai kakitangan kerajaan dia sentiasa bersedia untuk menjalankan kerja di bawah pentadbiran mana-mana pihak selagi selari dengan falsafah yang didukung oleh Perlembagaan.

Sehingga kini, Parlimen masih tergantung akibat tiada majoriti jelas dalam pilihan raya umum, Sabtu lalu. 

Sejak tiga hari lalu, beberapa pemimpin dan wakil gabungan parti politik dipanggil mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berhubung pencalonan nama perdana menteri dan pembentukan kerajaan pusat. 

Bagaimanapun, tiada sebarang keputusan sudah dicapai. 

Hari ini, Agong perkenan untuk menganjurkan satu Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara bagi mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu yang membolehkan Baginda membuat keputusan berkenaan kemelut politik itu. 

Sementara itu, Fasha, seorang jurugambar di RTM Angkasapuri, juga senada dengan Amelia. 

Katanya, buat masa ini tiada yang lebih penting melainkan kebijaksanaan Agong untuk mempertimbangkan keputusan yang terbaik buat negara dan seluruh rakyatnya. 

"Kami akan terus komited kerja macam biasa dan serahkan kepada Agong untuk membuat pertimbangan yang sebaiknya," katanya kepada MalaysiaNow. 

Tambahnya, tanggungjawab sebagai pemilih sudah ditunaikan dan kini menjadi tanggungjawab kepada bakal kerajaan baru untuk meneruskan dasar-dasar baik untuk negara. 

Lebih cepat lebih baik? 

Sementara itu, seorang doktor perubatan di Hospital Putrajaya pula berasa resah dengan ketidaktentuan politik semasa dengan mengatakan krisis politik boleh menjejaskan kerjayanya yang baru dibina. 

"Sejak malam Sabtu tempoh hari lagi saya tunggu siapa kerajaan baru Malaysia. 

"Semakin lama semakin saya resah kerana takut ia berpanjangan. Macam-macam perasaan mula datang ke fikiran. 

“Adakah kerja saya selamat? Adakah saya akan selamanya menjadi doktor kontrak?" kata Dr Taqif kepada MalaysiaNow. 

Bagaimanapun, dia menegaskan masih boleh mengawal emosi dan melayani para pesakit di wad dengan baik. 

Bahkan, katanya, ramai pesakitnya juga terdiri daripada kakitangan awam gemar berkongsi pandangan tentang situasi politik semasa. 

Kata Taqif, mereka minta dirinya untuk bertenang dan melayan "drama politik" itu kerana ianya hanya berlaku pada musim pilihan raya. 

"Perbualan macam tu jarang saya jumpa di wad. Celoteh mereka kadang-kadang jadikan kami hilang stress dan ketawa sewaktu bekerja," katanya. 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.