- Iklan -
Berita

Ahli Parlimen Umno 'menyepi' selepas Anwar diangkat jadi PM

Ramai pemimpin Umno yang sebelum ini secara terbuka menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan kini dilihat membuat 'pusingan U'.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang wanita berjalan di hadapan ibu pejabat Umno di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur.
Seorang wanita berjalan di hadapan ibu pejabat Umno di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur.

Pimpinan dan ahli-ahli Parlimen Umno yang sebelum ini dilihat menjadi "barisan hadapan" mengkritik presiden Ahmad Zahid Hamidi tidak lagi bersuara selepas pelantikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-10. 

Perkembangan itu menimbulkan persoalan mengenai pendirian mereka terhadap pembentukan kerajaan antara Barisan Nasional (BN) dan PH bersama parti komponennya, DAP. 

Antaranya, Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein yang dilaporkan beliau sedia dipecat oleh parti sekiranya BN bekerjasama dengan PH untuk membentuk kejayaan. 

Beliau yang juga bendahari agung BN sebelum ini beberapa kali mengatakan bahawa pendiriannya terhadap perkara itu adalah teguh dan tidak akan berubah. 

"Tahniah kepada Anwar Ibrahim atas pelantikan sebagai perdana menteri Malaysia yang ke-10. 

"Selamat menjalankan amanah dan tanggungjawab demi rakyat dan tanah air," tulis Hishammuddin pada siaran terbarunya di Facebook. 

Sementara itu, Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob yang menjadi antara individu dalam pimpinan parti menyangka kerjasama dengan PH juga tidak lagi menyentuh mengenai perkara tersebut. 

Awal minggu lalu, anak perempuannya mendedahkan perbualan antara Ismail bersama pemimpin Umno dalam aplikasi WhatsApp tidak bersetuju dengan kerjasama bersama PH.  

Perbualan tular itu menunjukkan beliau sama sekali tidak akan menjalin kerjasama dengan PH, malah lebih rela dipecat oleh partinya sendiri. 

Bagaimanapun, pada hantaran terbaru di media sosial, Ismail merakamkan ucapan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang memberi sokongan ke atas pentadbirannya selain mengucapkan tahniah kepada pelantikan Anwar sebagai perdana menteri.

"Saya mendoakan kerajaan baru ini dapat meneruskan kestabilan politik serta mengekalkan kemampanan ekonomi negara," tulisnya pada Rabu beberapa jam selepas Anwar mengangkat sumpah di Istana Negara. 

Sejak mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada malam Rabu lalu, kebanyakan ahli Parlimen dan pimpinan parti tidak lagi tampil membuat kenyataan terhadap Zahid berhubung kerjasama politik dengan PH. 

Hasil mesyuarat itu menyebut Umno tidak akan menyertai kerajaan perpaduan yang diterajui Perikatan Nasional (PN). 

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan, berkata keputusan itu dicapai secara sebulat suara dalam mesyuarat berkenaan. 

Terdahulu, ramai pimpinan parti komponen BN dah ahli parti menyatakan pendirian tidak mahu melakukan kerjasama dengan PH. 

Mereka turut mendesak Zahid meletakkan jawatan susulan kekalahan teruk gabungan itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu. 

Selain PH, Anwar turut mendapat sokongan Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Warisan, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Terbaru Anwar mengumumkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan turut menyertai kerajaan pimpinannya. 

Pada istiada angkat sumpah di Istana Negara, Zahid turut kelihatan hadir ke istana dan berjabat tangan dengan Anwar. 

Sementara itu, tinjauan MalaysiaNow ke akaun-akaun media sosial mereka mendapati ramai pengguna media sosial mempersoalkan pendirian ahli-ahli politik tersebut yang dilihat berubah angin selepas Anwar diangkat sebagai perdana menteri.

Kebanyakan mereka meninggalkan komen yang berbaur sindiran dan kritikan terhadap kenyataan yang pernah dibuat sebelumnya. 

"Mulut kata lain, hati kata lain," tulis Mahmad Amran pada ruangan komen di Facebook Ismail, semalam. 

"Nice u-turn Datuk Seri," tulis pengguna Facebook, Jamal Bahar di ruangan komen. 

Terdapat juga yang membuat kritikan secara terbuka meminta kedua-dua mereka tidak menyertai Kabinet dalam kerajaan yang baru ditubuh itu. 

"Harap tak ambil mana-mana jawatan (dalam Kabinet). Selamat pengantin baru," tulis Nik Hafeez pada siaran Facebook rasmi milik Hishammuddin. 

"Terima kasih lah Datuk sebab berpegang kepada prinsip. Teguh," tulis Mohd Hamim pula.