- Iklan -
Berita

Terima kasih atas tawaran, PN akan jadi pembangkang, kata Muhyiddin

Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin berkata gabungannya komited untuk memainkan peranan semak dan imbang kepada kerajaan dalam Parlimen.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menolak tawaran Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menyertai kerajaan baru yang diterajuinya, mengatakan ia memilih untuk mengukuhkan demokrasi dengan memainkan peranan sebagai pembangkang berwibawa sebagai semak dan imbang kepada kerajaan di Parlimen.

"Perikatan Nasional akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang berwibawa untuk membawa suara rakyat ke Parlimen serta memastikan tadbir urus kerajaan yang berintegriti dan bebas rasuah selaras dengan prinsip prihatin, bersih dan stabil,” kata Muhyiddin dalam sebuah kenyataan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada sidang media pertama selepas upacara angkat sumpah jawatan semalam mengundang PN untuk menyertai kerajaan perpaduan yang akan dibentuk.

PN memenangi 73 kerusi pada pilihan raya umum baru-baru ini, di mana ia dilihat sebagai tsunami Melayu yang menyaksikan banyak kubu kuat Umno dan PKR tersungkur kepada gabungan yang baru dua tahun ditubuhkan terdiri dari Bersatu, PAS dan Gerakan.

Dalam pada itu, Muhyiddin memberi jaminan bahawa PN komited untuk memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat, dan bersedia untuk merintis bentuk-bentuk kerjasama lain dengan kerajaan dalam ruang lingkup hubungan antara kerajaan dan pembangkang.

Kerajaan perpaduan yang ingin dibentuk oleh Anwar adalah  cadangan Yang di-Pertuan Agong, di mana Muhyiddin ditanya sama ada bersetuju untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan diterajui Anwar serta Barisan Nasional (BN) ketika sesi mengadap selepas pilihan raya umum baru-baru ini.

Muhyiddin, yang mendapat sokongan Gabungan Parti Sarawak sebelum beliau dinasihatkan oleh istana untuk menyertai kerajaan perpaduan kemudiannya menolak cadangan Agong.

"Saya diminta menandatangani dokumen jika kami bersetuju. Saya menandatangani, tetapi berkata 'tidak bersetuju'," katanya selepas sesi mengadap di Istana Negara Selasa lalu.