- Iklan -
Berita

‘Bukan suara saya’, Johari Ghani nafi klip audio tular dakwa Umno ditawarkan kementerian, agensi utama

Suara mirip ahli Majlis Tertinggi Umno itu turut didengar memberi amaran kepada DAP bahawa kerajaan akan runtuh 'jika mereka cakap banyak'.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Majlis Tertinggi Umno Johari Ghani di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur pada 20 November. Gambar: Bernama
Ahli Majlis Tertinggi Umno Johari Ghani di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur pada 20 November. Gambar: Bernama

Rakaman audio lima minit tular yang didengar kononnya Johari Ghani mendakwa partinya ditawarkan sekurang-kurangnya empat portfolio utama dalam Kabinet Perdana Menteri Anwar Ibrahim kini tersebar di media sosial, walaupun ahli Majlis Tertinggi Umno itu menafikan bahawa adalah suaranya.

“Tetapi tuan-tuan dan puan-puan, semalam tawaran kepada Umno adalah, Umno menteri kewangan, Umno menteri Kementerian Dalam Negeri (KDN), Umno menteri pembangunan luar bandar (KPLB), Umno menteri pelajaran (KPM),” klip dengan suara yang mirip Jhari itu didengar bercakap, sambil menambah Umno bakal mengepalai agensi-agensi kerajaan lain seperti Tabung Haji, Felda dan Risda.

Klip tersebut dipercayai dirakam sehari selapas Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertemu dengan Anwar dan Muhyiddin Yassin di mana pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menolak cadangan pembentukan “kerajaan perpaduan.”

Ketika dihubungi, Johari bagaimanapun menafikan suara tersebut adalah miliknya.

"Bukan suara saya (not my voice)," katanya ringkas apabila dihubungi MalaysiaNow.

Suara dalam klip tersebut kemudiannya menolak soalan bahawa Umno “menyerah”kepada DAP.

“DAP yang melukut kepada kita, kita tak lapaq melukut dengan DAP. Kalau depa cakap banyak, kita tarik handbrake, mampus runtuh kerajaan ini,” kata rakaman itu.

Kenyataan yang ditandatangani Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan pada 24 November lalu berkata ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno sebulat suara bersetuju untuk menyertai kerajaan perpaduan yang tidak diterajui Muhyiddin, satu langkah yang dilihat menunaikan tuntutan Zahid untuk bergabung dengan Anwar.

Langkah tersebut disambut sepi oleh hampir keseluruhan pemimpin Umno yang berkata mereka akan membantah sebarang kerjasama dengan Anwar atau PH, di mana bekas perana menteri Ismail Sabri Yaakob dan bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein berkata mereka sanggup dipecat.

Anwar mengangkat sumpah jawatan perdana menteri pada 24 November, mengakhiri empat hari kemelut politik berhubung pelantikan perdana menteri baru selepas tiada gabungan yang mendapat majoriti mudah pada pilihan raya umum baru-baru ini.

Istana Negara memberikan tempoh 24 jam kepada pemimpin parti politik untuk menyerahkan akuan berkanun (SD) bagi meyakinkan Agong mereka mempunyai majoriti.

Bagaimanapun, penyerahan 115 SD oleh Muhyiddin ditolak oleh Istana Negara, di mana Agong mencadangkan supaya Anwar dan Muhyiddin membentuk kerajaan perpaduan yang ditolak oleh PN.

Keputusan pilihan raya baru-baru ini menyaksikan BN kalah teruk kepada lawannya dari Bersatu dan PAS di kubu-kubu kuat Umno yang terdiri daripada pengudni majoriti Melayu.

Gabungan itu hanya berjaya memenangi 30 kerusi, kurang dari setengah daripada 79 kerusi dimenanginya pada 2018 sekali gus menumbangkannya di Putrajaya.