- Iklan -
Berita

Amanah beri laluan kepada BN untuk sekat ‘ekstremis agama’

Setiausaha Agung Amanah Mohd Hatta Ramli menyifatkan pilihan raya DUN Tioman adalah pertembungan antara PH-BN dan ekstremis kaum dan agama.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Calon Pakatan Harapan dari Amanah Mohd Fadzly Mohd Ramli ketika kempen pilihan raya di Rompin Pahang. Gambar: Facebook
Calon Pakatan Harapan dari Amanah Mohd Fadzly Mohd Ramli ketika kempen pilihan raya di Rompin Pahang. Gambar: Facebook

Parti komponen Pakatan Harapan (PH) hari ini berkata ia memberi laluan kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, di samping turut berikrar untuk berpadu secara erat dalam menentang Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung Amanah Mohd Hatta Ramli turut menyifatkan kerajaan Pahang yang baru dibentuk bersama PH dan BN sedang berdepan kelompok “ekstremisme kaum dan agama” yang perlu ditangani secara serius.

“Atas semangat itu, Amanah melihat keperluan untuk mewujudkan perpaduan erat komponen kerajaan negeri dalam menentang calon PN.

“Bagi memenangkan calon yang mewakili kerajaan perpaduan ini, jentera pilihan raya PH akan bergerak secara bersama dalam setiap kempen BN dalam pilihan paya berkenaan,” katanya dan menyifatkan kerjasama tersebut dapat memperkuatkan kerajaan diterajui Anwar Ibrahim.

Kenyataan Amanah ini dikeluarkan selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengecam naratif Islamofobia yang dicetuskan oleh parti komponen PH, DAP terhadap PAS selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang menyaksikan kemenangan besar parti Islam tersebut.

Dalam kenyataan tegas, Hadi berkata parti itu "menunjukkan belangnya secara terbuka dan rakus".

"Pandangan para orientalis dan media Barat yang paling bermusuh serta berbohong terhadap Islam yang disebarkan di negara Barat telah diimport ke Malaysia oleh DAP, sehingga dilaporkan maklumat yang salah terhadap PAS," kata Hadi.

PN akan meletakkan Nor Idayu sebagai calon di Tioman pada 7 Disember depan mewakili PAS selepas calon sebelumnya, Md Yunus Ramli meninggal dunia.

Penarikan diri calon Amanah Mohd Fadzli Mohd Ramly hari ini, bermakna pertandingan merebut kerusi DUN tersebut akan menyaksikan Nor Idayu berdepan calon BN Mohd Johari Hussain.