- Iklan -
Berita

Tolak PKR, DAP hanya strategi PRU15, kata Zahid

Presiden Umno itu berkata pendirian mengenai kerjasama dengan Pakatan Harapan dan Bersatu itu tidak terpakai selepas pilihan raya.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi melambaikan tangan kepada wartawan ketika meninggalkan istana selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong pada 23 November lalu.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi melambaikan tangan kepada wartawan ketika meninggalkan istana selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong pada 23 November lalu.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata pendiriannya menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) serta Bersatu hanya sekadar strategi kempen pilihan raya.

“Penolakan sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan Bersatu adalah untuk berdepan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan bukannya untuk pasca pilihan raya.

“Yang kedua, kerjasama ini adalah berlandaskan titah Yang di-Pertuan Agong yang inginkan kerajaan perpaduan terbentuk,” katanya dalam catatan Facebook.

Zahid yang berdepan tekanan supaya beliau meletak jawatan sebagai pengerusi Barisan Nasional (BN) berikutan prestasi buruk gabungan itu dalam PRU15 baru-baru ini.

Beliau juga mengetuai usaha untuk meningkatkan jumlah sokongan kepada Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan, selepas mewakili 30 ahli Parlimen BN untuk menyokong pengerusi PH tersebut.

Umno, yang lama berpegang kepada pendirian "No Anwar, no DAP", juga bersetuju memutuskan hubungan dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) pada perhimpunan agungnya tahun lepas.

Selepas pilihan raya 19 November lalu, parti itu kemudiannya menyokong cadangan Agong supaya kerajaan perpaduan dibentuk namun bukan kerajaan yang diterajui oleh PN.

Sebelum pilihan raya diadakan, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin beberapa kali mengulangi Anwar dan Zahid akan berganding bahu untuk membentuk kerajaan campuran sekiranya Umno kekurangan sokongan yang diperlukan untuk membentuk kerajaan.

"Zahid pun kata dah bersedia bentuk jajaran dengan mana-mana parti politik yang bekerjasama dengan Umno.

"Tapi dia dah tolak Bersatu dalam perhimpunan agung Umno. Jadi kalau dia tolak PN, siapa pilihan dia agaknya? Pakatan Harapan?,” katanya pada ceramah 11 November lalu.

Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad sebelum ini turut menegaskan perkara yang sama mengenai kerjasama antara Anwar dan Zahid.