- Iklan -
Berita

Anwar kemuka surat tuntutan maaf terhadap ahli Parlimen Baling

Peguam Anwar berkata audio itu dibuat dengan berniat jahat dan tidak benar, palsu serta bertujuan untuk merendahkan maruah anak guamnya di mata masyarakat umum.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memfailkan notis tuntutan terhadap Hassan Saad, menuntut ahli Parlimen Baling itu supaya membuat permohonan maaf tanpa syarat berhubung hantaran audio berbaur fitnah yang mengaitkannya sebagai ejen Israel.

Anwar, 75, yang juga pengerusi Pakatan Harapan memfailkan notis tuntutan itu menerusi Tetuan SN Nair & Partners semalam.

Menurut peguam SN Nair, jika pihaknya tidak menerima apa-apa maklum balas yang memuaskan daripada Hassan dalam tempoh tiga hari daripada tarikh penerimaan notis, tindakan perundangan akan diteruskan terhadap Hassan.

Berdasarkan notis tuntutan itu, pada 27 November lepas, Hassan telah menerbitkan atau menyebabkan penerbitan suatu hantaran audio yang memfitnah Anwar di aplikasi Twitter atas nama “Mohd Ropi Mat Sin".

Nair berkata audio itu telah dipetik oleh pengguna Twitter di bawah nama "Pemikir Malaysia" yang mendapat tontonan melebihi 431,500 kali, dan reaksi "Like" melebihi 4,800 kali, perkongsian melebihi 3,300 kali dan petikan Twitter melebihi 1,400 kali setakat tarikh notis ini.

Beliau mendakwa audio itu dibuat dengan berniat jahat (mala fide) dan ia tidak benar, palsu serta bertujuan untuk merendahkan maruah anak guamnya di mata masyarakat umum.

Nair berkata perkataan-perkataan memfitnah itu secara keseluruhannya antara lain membawa maksud bahawa Pengerusi Pakatan Harapan telah menyalah guna kuasanya sebagai seorang ahli Parlimen, seorang pembohong, tidak beretika dan telah mengkhianati mandat rakyat.

Beliau menegaskan bahawa pelantikan anak guamnya sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 adalah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan susulan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada 24 November lepas.

Peguam itu berkata Hassan tidak pernah menafikan perkara itu walaupun selepas perkataan-perkataan dan audio memfitnah itu telah tular di Twitter dan aplikasi sosial media lain.

“Sekiranya YB Hassan menafikan perkataan-perkataan dan audio memfitnah itu, pihak kami telah diarahkan oleh anak guam untuk menuntut pengesahan secara umum dan bertulis daripada YB Hassan bahawa YB Hassan tidak mengungkapkan atau menerbitkan perkataan fitnah itu.

“Selain itu anak guam kami memohon penarikan balik perkataan memfitnah serta permohonan maaf tanpa syarat, aku janji bertulis oleh YB Hassan untuk tidak mengulangi perkataan memfitnah itu,” menurut peguam itu.

Berdasarkan notis tuntutan itu, Nair memaklumkan anak guamnya akan menuntut ganti rugi atas tindakan Hassan.

Nair ketika dihubungi mengesahkan telah menghantar notis tuntutan itu kepada Hassan melalui kiriman pos.

“Tuduhan itu (perkataan memfitnah) adalah keterlaluan,” kata Nair.