Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty menyambut baik cadangan Majlis Raja-Raja Melayu supaya kuasa perdana menteri dalam pelantikan hakim dihapuskan, namun mengatakan langkah untuk memastikan kebebasan badan kehakiman hanya akan terjamin jika kerajaan menyokong pindaan Perlembagaan untuk menghapuskan sepenuhnya peranan badan eksekutif dalam perkara tersebut.
LFL mengingatkan di bawah Perkara 122B Perlembagaan, perdana menteri masih mempunyai kuasa untuk menasihati Agong mengenai siapa yang perlu dilantik ke Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi, walaupun wujud Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dalam mencadangkan calon hakim-hakim kanan negara.
“Secara ringkasnya, perdana menteri tidak perlu menerima saranan JAC.
“Pengaruh besar eksekutif ke atas badan kehakiman ini mesti dihapuskan sepenuhnya untuk memastikan kebebasan dan integriti kehakiman," kata Pengarah LFL Zaid Malek.
Majlis Raja-Raja semalam mencadangkan perdana menteri melepaskan kuasanya dalam melantik lima daripada keseluruhan sembilan anggota JAC, sebuah suruhanjaya yang ditubuhkan pada 2009 untuk menangani dakwaan wujud unsur berat sebelah dalam pelantikan hakim kanan negara.
Sementara baki empat anggota suruhanjaya itu adalah hakim-hakim kanan.
Tuanku Muhriz Tuanku Munawir Negeri Sembilan, yang mempengerusikan mesyuarat dua hari Majlis Raja-Raja di Istana Negara, berkata terdapat keperluan untuk membentuk keanggotaan yang lebih seimbang dan tidak membawa kepentingan mana-mana pihak.
Tuanku Munawir berkata pelantikan lima ahli JAC tersebut perlu diberikan kepada institusi seperti Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Undang-Undang Sabah, Persatuan Peguambela Sarawak dan Jawatankuasa Pemilih Parlimen.
“Sekiranya semua ini dilaksanakan, Beta yakin JAC akan mampu menjalankan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan dan menjadikan pemilihan serta pelantikan hakim-hakim di Malaysia adalah di kalangan individu yang berkeperibadian mulia, telus dan adil,” tambahnya.
LFL turut merujuk dakwaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mempunyai sokongan dua pertiga di Parlimen, mengatakan kerajaan baru perlu menggunakan kedudukannya untuk meminda Perkara 122B Perlembagaan untuk menghapuskan sepenuhnya peranan perdana menteri dalam melantik hakim sekali gus membenarkan JAC menasihati Agong secara terus.
“PM baru Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan sudah lama berjanji untuk menegakkan demokrasi dan kedaulatan undang-undang, dan memulakan reformasi meluas jika mereka menawan kuasa persekutuan.
"Sekarang adalah masa untuk tunaikan janji itu,” katanya.