- Iklan -
Berita

Pengundian awal di Padang Serai, Tioman esok

76 orang akan membuang undi bagi Parlimen Padang Serai, manakala bagi kerusi DUN Tioman pula melibatkan 243 pengundi.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang pegawai polis mencelupkan jarinya ke dalam bekas dakwat kekal sebelum membuang undi.
Seorang pegawai polis mencelupkan jarinya ke dalam bekas dakwat kekal sebelum membuang undi.

Sejumlah 76 orang pengundi awal yang terdiri daripada anggota polis akan mengundi awal esok bagi Parlimen Padang Serai, manakala bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman pula melibatkan 243 anggota polis.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ikmalrudin Ishak menerusi kenyataan memaklumkan, proses mengundi bagi Parlimen Padang Serai bertempat di Dewan Serbaguna, ibu pejabat polis Kulim, mulai 8 pagi hingga 2 petang.

Beliau berkata bagi DUN Tioman pula, akan mengundi awal di bilik rehat ibu pejabat polis Rompin (8 pagi hingga 5 petang) dan di bilik maklumat Balai Polis Tekek Pulau Tioman (8 pagi hingga 12 tengah hari).

“SPR turut menyarankan kepada pengundi yang positif Covid-19, untuk berhubung terus dengan pegawai kesihatan daerah bagi memudahkan urusan pengundian awal nanti.

“Proses pengundian awal ini turut disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding. SPR akan menyiarkan proses pengundian ini secara penstriman langsung menerusi Facebook SPR di beberapa pusat mengundi awal yang terpilih,” katanya.

Beliau berkata kertas undi awal akan disimpan di lokap balai polis untuk jagaan selamat, selain pengiraan dibuat pada 7 Dis bermula jam 4 petang di tempat pengiraan undi yang ditetapkan.

Dalam pada itu, SPR turut menasihati agar pengundi yang dikategorikan mengundi awal, membuat semakan maklumat pengundian melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018 / 03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru antara calon Pakatan Harapan Mohamad Sofee Razak, Azman Nasrudin (PN-Bersatu), C Sivaraj  (BN-MIC), Hamzah Abd Rahman (Pejuang-Putra), Sreanandha Rao (bebas) dan Mohd Bakhri Hashim (Warisan).

Warisan kemudian mengumumkan tidak mengambil bahagian dalam pilihan raya berkenaan, namun logo Warisan masih tersenarai dalam kertas undi, kerana sudah didaftarkan sebagai antara parti yang bertanding.

DUN Tioman pula melibatkan saingan lima penjuru antara calon PN Nor Idayu Hashim, Mohd Johari Hussain (BN), Osman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (bebas) walaupun calon PH, Mohd Fadzli Mohd Ramly mengumumkan untuk menarik diri kerana logo PH masih tersenarai dalam kertas undi.

SPR telah menetapkan proses penamaan calon bagi Parlimen dan DUN tersebut berlangsung pada 24 November lepas diikuti pengundian awal esok dan 7 Disember ditetapkan sebagai hari pengundian.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.