- Iklan -
Berita

Zahid kembali menjadi TPM, Anwar menteri kewangan

Barisan Kabinet diumumkan perdana menteri mengesahkan spekulasi bahawa beliau akan mengambil ‘kluster mahkamah’ dalam Kabinet baru.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan Barisan Kabinet di Perdana Putra di Putrajaya hari ini.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan Barisan Kabinet di Perdana Putra di Putrajaya hari ini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri, mengembalikan presiden Umno ke kedudukan kedua tertinggi kerajaan yang pernah dipegangnya sehingga 2018 walaupun masih berdepan pertuduhan rasuah.

Anwar juga mengambil langkah mengejutkan apabila mengumumkan beliau sebagai menteri kewangan, yang dilihat mengulangi amalan era pentadbiran Najib Razak di mana perdana menteri sendiri memegang portfolio utama Kabinet.

Dalam pada itu, Rafizi Ramli, yang diuar-uarkan bakal memegang portfolio kewangan dinamakan sebagai menteri ekonomi, jawatan yang pernah disandang oleh bekas pesaing utamanya dalam PKR, Mohamed Azmin Ali.

Turut dilihat kembali mengisi keanggotaan Kabinet ialah Tengku Zafrul Aziz sebagai menteri perdagangan antarabangsa dan industri.

Bekas pegawai bank itu pertama kali dilantik sebagai menteri kewangan ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan, namun beliau gagal membuat penampilan sulung sebagai ahli Parlimen selepas tewas kepada penyandangnya Dzulkefly Ahmad di Kuala Selangor dalam pilihan raya baru-baru ini.

Sementara itu, jawatan timbalan perdana menteri kedua yang sudah dijangka akan dibuat dalam Kabinet baru diserahkan kepada pemimpin Gabungan Parti Sarawak, Fadillah Yusof.

Bagaimanapun, bekas menteri kesihatan yang mempertahankan kerusi Kuala Selangor tidak dinamakan bagi sebarang portfolio.

Presiden Amanah Mohamad Sabu yang sebelum ini diberikan portfolio pertahanan di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad dinamakan sebagai menteri pertanian dan keterjaminan makanan.

PKR pula diberikan dua portfolio kementerian utama: Fadhlina Sidek dinamakan sebagai menteri pendidikan sementara Saifuddin Nasution dinamakan dilantik sebagai menteri dalam negeri.

Berikut adalah senarai penuh Kabinet:

  1. Anwar Ibrahim (perdana menteri, menteri kewangan)
  2. Ahmad Zahid Hamidi (timbalan perdana menteri, menteri kemajuan desa dan wilayah)
  3. Fadillah Yusof (timbalan perdana menteri, menteri perladangan dan komuniti)
  4. Anthony Loke (menteri pengangkutan)
  5. Mohamad Sabu (menteri pertanian dan keterjaminan makanan)
  6. Rafizi Ramli (menteri ekonomi)
  7. Nga Kor Ming (menteri perumahan dan kerajaan tempatan)
  8. Mohamad Hasan (menteri pertahanan)
  9. Alexander Nanta Linggi (menteri kerja raya)
  10. Saifuddin Nasution (menteri dalam negeri)
  11. Tengku Zafrul Aziz (menteri perdagangan antarabangsa dan industri)
  12. Khaled Nordin (menteri pendidikan)
  13. Chang Lih Kang (menteri tenaga, sains, teknologi dan inovasi)
  14. Nancy Shukri (menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat)
  15. Salahuddin Ayub (menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna)
  16. Azalina Othman Said (menteri undang-undang dan reformasi institusi)
  17. Nik Nazmi Nik Ahmah (menteri sumber asli, alam sekitar dan perubahan iklim)
  18. Ewon Benedick (menteri pembangunan usahawan)
  19. Zambry Kadir (menteri luar)
  20. Tiong King Sing (menteri pelancongan)
  21. Fahmi Fadzil (menteri komunikasi)
  22. Fadhlina Sidek (menteri pendidikan)
  23. Ago Dagang (menteri perpaduan)
  24. Mohd Nai’m Mokhtar (menteri agama)
  25. Hannah Yeoh (menteri belia dan sukan)
  26. Sivakumar Varatharaju Naidu (menteri sumber manusia)
  27. Dr Zaliha Mustafa (menteri kesihatan)
  28. Armizan Mohamad Ali (menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah Sarawak)
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.