- Iklan -
Berita

5 hari tunggu kerajaan baru, apa kata pengundi kali pertama?

Sebahagian mereka mengkritik parti dan ahli politik manakala ada juga yang berkata ia penantian tersebut baik demi kestabilan negara.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Pengundi kali pertama membuang undi di Sekolah Rendah Agama Jalan Raja Muda Musa di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 19 November lalu.
Pengundi kali pertama membuang undi di Sekolah Rendah Agama Jalan Raja Muda Musa di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 19 November lalu.

Pengundi kali pertama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berumur antara 18 hingga 23 tahun menyuarakan kebimbangan terhadap kemelut politik negara selepas episod panjang menunggu pembentukan kerajaan pusat selepas malam 19 November lalu. 

Seorang pelajar undang-undang tahun pertama, Sonia Pillai,19, berkata banyak iktibar yang boleh diambil sepanjang tempoh menunggu seluruh rakyat Malaysia terutamanya dalam mengenalpasti ego dan kesombongan masing-masing khususnya ahli-ahli politik.

“Mengapa masih susah nak bentuk dan jadi kerajaan walaupun kamu sudah menang dalam pilihan raya? 

“Parti A tak mahu kamu, parti B tak mahu juga, parti C pula ikut kemahuan parti A dan B. Kenapa? 

“Ini bukan sebab kamu itu Cina atau mereka itu rasis, tetapi kerana selama ini kamu sombong,” katanya kepada MalaysiaNow ketika ditemui di sebuah kafe bersama rakan-rakannya. 

Seorang rakan Sonia bersetuju dengan pandangannya, kata Nik Ahmad Haris, disebabkan kesombongan itulah menyebabkan banyak pihak menjauhkan diri dan enggan bekerjasama dengan pihak tersebut. 

“Kesudahannya mereka terpaksa minta maaf dengan orang itu, pemimpin dan orang Sarawak. Benda itu sepatutnya dilakukan lama lagi tapi disebabkan sombong, tak cukup ‘kawan’ baru nak minta maaf,” katanya yang mengundi di Parlimen Petaling Jaya. 

Tanpa menamakan mana-mana pihak, kedua-dua sahabat baik itu merujuk kepada pemimpin utama DAP yang membuat permohonan maaf secara terbuka kepada kerajaan dan rakyat Sarawak atas sebarang kenyataan yang menyinggung perasaan oleh mana-mana pimpinan parti itu selama ini. 

Permohonan maaf itu disampaikan oleh Setiausaha Agung DAP Anthony Loke ketika pertemuannya dengan Premier Sarawak Abang Johari Openg pada 24 November lalu. 

Tidak lama selepas itu, Pengerusi DAP Lim Guan Eng pula tampil memohon maaf kepada pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan rakyat negeri itu dipercayai sebagai usaha mendapatkan sokongan blok Borneo untuk menyokong Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan. 

Menurut Sonia, sebagai pengundi muda yang seringkali dipandang rendah oleh golongan berumur sebagai “budak-budak” dan “buta politik” dia merasakan sikap segelintir ahli politik amat keterlaluan dan memalukan. 

“Kami budak-budak pun pandai minta maaf. Tak perlu tunggu jadi ahli politik,” kata mereka disusuli dengan ketawa. 

Minggu lalu berlaku persaingan sengit antara Pengerusi PH Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mendapatkan sokongan berikutan PRU15 menyaksikan tiada satu pun gabungan mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan sendiri. 

Ketika itu juga pelbagai rundingan dan perbincangan dibuat antara pemimpin PH dan Barisan Nasional (BN) sehingga berlanjutan selama lima hari sehingga Istana Negara perkenan melantik Anwar sebagai perdana menteri ke-10. 

Dalam pada itu, seorang pelajar kolej Noor Daniel Ikmal, 20, juga melihat tempoh lima hari kemelut politik itu sebagai sesuatu yang baik. 

Katanya, ketika itulah rakyat terutamanya para pengundi boleh melihat konsistensi ahli-ahli politik masing-masing terhadap kepercayaan dan kenyataan mereka sebelum ini. 

“Bila satu pihak ini tak bersetuju dengan pihak yang lain, maka mereka memang buat keputusan untuk tidak bergabung,” katanya dan menambah kebimbangan rata-rata pengundi adalah kepercayaan terhadap pendirian ahli-ahli politik. 

Sementara itu, Engku Ariff yang masih menuntut di sebuah universiti swasta menegaskan rakyat perlu menolak ahli-ahli politik yang secara jelas mempunyai kepentingan diri tanpa memikirkan pandangan ahli parti dan kedudukan diri sendiri yang berdepan dengan pelbagai tuduhan mahkamah. 

Katanya, apabila rakyat tekad berbuat demikian maka kemelut politik negara ada masa akan datang boleh ditangani secara rasional. 

“Ketepikan dan buang ahli-ahli politik yang ada kepentingan diri sendiri. 

“PM baru juga sepatutnya lebih telus dan dedikasi untuk politik yang lebih sihat dan demokrasi untuk Malaysia.” 

Sepanjang tempoh lima hari penantian itu, tumpuan turut dihalakan kepada BN yang mempunyai 30 ahli Parlimen tetapi berlaku percanggahan pandangan beberapa kali sesama mereka. 

Pengerusi BN Ahamad Zahid Hamidi berdepan tekanan untuk berundur ekoran kekalahan teruk gabungan itu pada PRU15. 

Beliau juga mendapat kritikan hebat kerana surat yang dihantar kepada istana menyatakan sokongan kesemua ahli Parlimen BN terhadap Anwar. 

Ahli-ahli Parlimen BN menuduhnya membuat “kenyataan tanpa berunding terlebih dahulu” selain mendakwa pemimpin itu cuba untuk memperdaya pihak istana. 

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi