Selepas kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bahawa ketetapan "No DAP, No Anwar" hanyalah untuk sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan tidak terpakai selepasnya, persoalan timbul tentang impak kenyataan itu dalam aspek sokongan orang Melayu.
Umno dan Barisan Nasional (BN) mencatatkan prestasi terburuk dalam sejarah dengan hanya memenangi 30 kerusi dengan kerusi-kerusi selamat turut terlepas ke tangan parti lain.
PRU15 menyaksikan tsunami Melayu yang menolak Umno akibat imej Zahid yang dilihat korup dan tidak dipercayai.
Hasilnya, berlaku hayunan undi kepada Perikatan Nasional (PN) di kawasan-kawasan majoriti Melayu.
Umno bagaimanapun memilih untuk menyebelahi pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim bagi membentuk kerajaan baru pasca PRU15, sekali gus membenarkan spekulasi jajaran baru yang hangat diperkatakan beberapa tahun kebelakangan ini.
Bercakap kepada MalaysiaNow, Jayum Anak Jawan dari Universiti Putra Malaysia berkata, akibat daripada kenyataan Zahid itu Umno akan tamat hayatnya jika tiada perubahan drastik dari segi kepimpinan.
"Melayu sendiri sudah tolak Umno sebab itu pada PRU 2018 dan 2022, Umno dan BN kalah teruk.
"Ramai kepimpinan tertinggi Umno sudah tidak relevan dan tidak akan bangkitkan sokongan Melayu kembali kepada mereka," katanya kepada MalaysiaNow.
Katanya, Zahid turut disifatkan sebagai pemimpin yang tidak boleh dipercayai kerana “cakap lain, buat lain”.
Desakan berundur disuarakan beberapa kepimpinan Umno sejurus keputusan PRU15 diketahui, walaupun ramai antara mereka kembali senyap selepas Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.
Sementara itu, penganalisis politik, Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata Umno berpeluang memenangi semula pengundi Melayu jika parti itu mempunyai kuasa dalam kerajaan yang dibentuk.
"Dengan jawatan strategik Kabinet yang akan diperoleh BN, gabungan itu mampu menghasilkan hayunan undi Melayu kepada BN semula lebih tinggi selepas ini.
"Ini akan menyebabkan PN lemah dari segi jangka panjang kerana tidak terlibat dalam Kabinet kerajaan persekutuan," katanya.
Sebelum ini Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil berkata parti itu memilih untuk bersama PH kerana tidak mahu berebut bank undi yang sama dengan PN.
Umno bergantung kepada undi Melayu, terutama di kawasan-kawasan luar bandar.
Begitu juga dengan PAS dan Bersatu yang berada dalam PN.
Menurut Azman, beberapa jawatan penting dijangka diberikan kepada BN dan ia memperlihatkan kedudukan Umno sebagai “kingmaker” dalam kerajaan meskipun hanya dengan 30 kerusi.
Hal itu turut dipersetujui oleh Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia.
Katanya, pengundi Melayu terbukti menyokong PN dan jumlah itu mampu bertambah namun PRU16 masih panjang.
Umno katanya mampu mencipta naratif baru dalam tempoh itu, bagi melawan naratif parti itu tidak berprinsip.
"Umno boleh memperkenalkan program-program ekonomi dan subsidi yang menguntungkan rakyat marhaen terutamanya orang Melayu.
"Ini dapat menenggelamkan naratif PN," katanya.
Namun Azmil berkata, parti itu dinasihatkan tidak campurtangan dalam kes Zahid dan membiarkan mahkamah menentukan nasib ahli Parlimen Bagan Datuk itu secara bebas.
"Ini boleh memberi persepsi yang baik terhadap Umno," katanya.