- Iklan -
Berita

Pelantikan Zahid tiada kepentingan politik, ikut hierarki parti, kata Umno

Menurut setiausaha agung Umno, pelantikan Ahmad Zahid Hamidi adalah demi kestabilan kerajaan yang dibentuk selepas PRU15.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin GPS, Fadillah Yusof menandatangani surat angkat sumpah sebagai timbalan perdana menteri. Gambar: Bernama
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin GPS, Fadillah Yusof menandatangani surat angkat sumpah sebagai timbalan perdana menteri. Gambar: Bernama

Pelantikan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri bukan berunsurkan kepentingan politik, tetapi dibuat dengan mengambil kira kedudukannya dalam hierarki parti.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata pelantikan Zahid ke jawatan kedua tertinggi negara itu juga, bertujuan memberikan kestabilan kepada kerajaan perpaduan yang telah dibentuk selepas tiada parti memperolehi majoriti mudah 112 di Dewan Rakyat.

“Tidak pernah satu Kabinet pun yang tidak menerima kritikan… berapa banyak kali kita melihat ada satu perkara yang 100% sempurna. Mesti ada pihak yang tidak bersetuju di sana sini.

“Jika kita memberikan kepada orang lain selain presiden (Zahid), kestabilan itu agak tercabar. Kestabilan pertama dalam Umno dan kedua dalam kerajaan perpaduan itu sendiri.

“Oleh itu kita ingin kestabilan dan mengikut hierarki parti satu perkara yang sesuai dibuat pada saat ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ceramah di Kampung Pianggu, Rompin semalam.

Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) antara 27 jemaah Kabinet yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara semalam.

Selain timbalan perdana menteri, Zahid juga memegang portfolio menteri kemajuan desa dan wilayah. 

Ditanya mengenai penerimaan parti terhadap keputusan barisan jemaah Kabinet, Ahmad berkata maklum balas positif diterima daripada peringkat akar umbi parti.

“Kita sedar kita hanya ada 30 kerusi dan enam wakil (menjadi menteri) pada pandangan kita Alhamdulillah, walaupun kita meminta lebih. Kita tunggu senarai timbalan menteri pula,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.