Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Aziz tidak hadir ke mesyuarat khas Kabinet yang pertama hari ini kerana berada di luar negara, kata sumber.
Sumber berkata, ini menyebabkan Zafrul perlu hadir ke upacara simbolik mengimbas kad perakam waktu (clock in) buat kali pertama sebagai menteri pada jam petang Sabtu lalu di Menara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).
Seorang pegawai Miti, turut mengesahkan perkara tersebut.
"Menteri (Zafrul) clock in pada Sabtu selepas majlis angkat sumpah.
"Beliau juga tak dapat hadir mesyuarat kali pertama hari ini," katanya kepada MalaysiaNow dengan syarat tidak dinamakan.
Zafrul mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Negara pada Sabtu selepas dinamakan sebagai menteri perdagangan antarabangsa dan industri yang baru.
Bekas jurubank itu pertama kali dilantik sebagai menteri kewangan ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan oleh Muhyiddin Yassin.
Kemudiannya, beliau dikekalkan sebagai menteri kewangan oleh Ismail Sabri Yaakob selepas Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Zafrul gagal membuat penampilan sulung sebagai ahli Parlimen selepas tewas kepada penyandangnya Dzulkefly Ahmad di Kuala Selangor.
Ironinya Anwar melantik Zafrul sebagai menteri akan tetapi tidak Dzulkefly dari Amanah yang dianggap sebagai menteri kesihatan yang popular dalam pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang terdahulu.
Dzulkefly yang sebelum itu menyatakan hasrat untuk tidak bertanding PRU15 diminta oleh PH mempertahankan kerusi berkenaan selepas Barisan Nasional (BN) menamakan Zafrul sebagai calon.
Semasa jelajah kempen PRU15 di Selangor, Anwar yang juga pengerusi PH menegaskan tidak akan melantik Zafrul untuk menjadi anggota dalam Kabinet di bawah pentadbirannya.
Bagaimanapun, pada Jumaat lalu, Anwar mengumumkan Zafrul menganggotai Kabinet barunya.