Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mempertahankan pelantikan timbalannya Ahmad Zahid Hamidi selepas menerima kritikan dari dalam dan luar negara kerana presiden Umno itu sedang berdepan dengan 47 pertuduhan jenayah rasuah di mahkamah.
Menurut Anwar, Zahid yang juga presiden Umno masih belum dibuktikan bersalah oleh mahkamah.
"Dia didakwa dan belum ada hukuman. Proses itu kita harus hormati. Dia kebetulan juga presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional (BN).
"Dan dalam keadaaan kerajaan perpaduan ini saya ambil kira faktor itu," katanya pada satu sidang media di Jabatan Perdana Menteri selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Kabinet yang pertama selepas mengumumkan barisan jemaah menteri Jumaat lepas.
Dalam pada itu, beliau turut membidas pengkritik yang mempersoalkan pelantikan Zahid dalam Kabinet.
“Saya dari dulu lagi kata, orang yang jerit rasuah rasuah ni pun perlu bersih. Tak boleh ada projek ratusan juta,” katanya.
Pengumuman senarai anggota Kabinet oleh Anwar pada Jumaat menyaksikan Zahid kembali kepada kedudukan kedua tertinggi kerajaan yang pernah dipegangnya sehingga 2018.
Pengumuman tersebut mencetuskan reaksi dalam kalangan rakyat Malaysia yang tidak percaya individu kluster mahkamah boleh menganggotai jemaah menteri pimpinan pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.
Kluster mahkamah merujuk kepada sekumpulan pemimpin Umno yang berdepan dengan pertuduhan jenayah rasuah di mahkamah.
Zahid yang juga merupakan pengerusi Barisan Nasional (BN) memainkan peranan penting dalam mendapatkan sokongan ahli Parlimennya terhadap Anwar, walaupun beliau mendapat tentangan keras dari dalaman Umno sendiri kerana mengabaikan ketetapan perhimpunan parti itu yang tidak membenarkan sebarang jalinan kerjasama dengan Anwar dan DAP.
Antara mereka termasuk Hishammuddin Hussein dan Annuar Musa, malah ia juga dibantah parti komponen lain seperti MCA dan MIC.
Mereka beranggapan BN sewajarnya berperanan sebagai pembangkang memandangkan tidak mendapat mandat rakyat untuk menjadi kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Kempen PH sepanjang pilihan raya baru-baru ini menyaksikan pemimpinnya berulang kali memberi jaminan kepada penyokong bahawa mereka tidak akan membenarkan pemimpin terpalit skandal menganggotai kerajaan, di samping menafikan dakwaan Perikatan Nasional bahawa Anwar dan Zahid sudah lama membuat pakatan sulit.