Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi hari ini memulakan tugas secara rasmi di Perdana Putra di Putrajaya.
Zahid yang mengenakan sut serba hitam, disambut Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali sebaik tiba di perkarangan Kompleks Perdana Putra pada pukul 8 pagi.
Beliau kemudiannya mengimbas kad perakam waktu di pejabatnya sebelum mengaminkan doa yang dipimpin oleh Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri Kamruzaman Abdul Aziz.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu kemudiannya memasuki pejabatnya serta menandatangani buku selamat datang.
Zahid, 69, diumumkan sebagai timbalan perdana menteri serta memegang portfolio menteri kemajuan desa dan wilayah oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Jumaat lepas.
Pada Sabtu lepas, Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) antara 27 jemaah Kabinet mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara.
Zahid juga dijadual menghadiri mesyuarat khas jemaah menteri yang pertama dipengerusikan oleh perdana menteri.
Perdana Putra menempatkan pejabat-pejabat utama dalam pentabiran negara seperti Pejabat Perdana Menteri, Pejabat Timbalan Perdana Menteri dan Pejabat Ketua Setiausaha Negara.