- Iklan -
Berita

Arahan bayar kepada pesawah bukan untuk roboh empayar Syed Mokhtar, kata PM

Anwar Ibrahim menjelaskan arahan kepada Bernas untuk membayar RM10 juta bulan ini dan RM50 juta tahun depan kepada pesawah dibuat selepas rundingan dengan Syed Mokhtar.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan berucap pada sidang media di Putrajaya hari ini. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan berucap pada sidang media di Putrajaya hari ini. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan beliau hendak merobohkan empayar perniagaan Syed Mokhtar Al-Bukhary, susulan arahannya supaya Padiberas Nasional Berhad (Bernas) membayar RM10 juta  bulan ini dan RM50 juta pada tahun depan kepada pesawah miskin.

Dalam sidang medianya hari ini, Anwar yang juga menteri kewangan berkata keputusan itu diambil selepas berunding dengan Syed Mokhtar, menafikan dakwaan yang mengatakan langkah itu bertujuan untuk merobohkan empayar tokoh korporat itu.

Jelasnya, isu monopoli import beras yang dikuasai tokoh konglomerat yang dibangkitkan beliau adalah berniat bagi membantu pesawah dan ia bukan keputusan mudah kerana berdepan dengan konglomerat yang keuntungannya berbilion ringgit.

"Saya tidak ambil keputusan tanpa berunding. Saya kenal dia dan saya tahu dia syarikat besar, bukan maksud saya nak robohkan empayar dia tetapi saya kata buatlah keuntungan dan saya beri jaminan mana-mana pelabuhan di Tanjung Pelepas yang saya akan arahkan Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan (MOF) akan cari jalan bantu supaya dapat diperbaiki dan ditambak," kata beliau.

"Berkenaan Bernas dan Syed Mokhtar, saya telah adakan perbincangan dengan beliau sebelum memberikan arahan kepada Bernas untuk membayar sebanyak RM10 juta bulan ini dan RM50 juta tahun hadapan kepada pesawah miskin dan melarat," katanya.

Pada Isnin, Ketua Perikatan Nasional Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mempersoalkan tindakan Anwar kerana hanya menegur Syed Mokthar berbanding tokoh korporat terkaya di Malaysia yang lain dan mendakwa ia adalah kerana beliau adalah seorang Melayu dan mudah dibuli.

Pengerusi Perikatan Nasional Kedah itu turut mempersoalkan mengapa Anwar atau kerajaan tidak mencari individu terkaya lain di Malaysia memandangkan Syed Mokhtar hanya berada di tangga belasan senarai orang paling kaya di negara.
 
Pada masa sama, Anwar turut memberi amaran kepada Muhyiddin Yassin yang mencabar kerajaan supaya membuktikan salah laku berhubung perbelanjaan "RM600 bilion" yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri itu ketika beliau mentadbir negara.

Menurut Anwar, selepas diteliti, sejumlah besar wang tersebut adalah dari KWSP dan moratorium bank.

"Justeru, kepada Muhyiddin, jangan cabar kerajaan kerana ada beberapa peraturan dan prosedur yang tidak dipatuhi serta ada beberapa syarikat berkepentingan melibatkan keluarga turut terpalit," katanya.

Selain itu, Anwar berkata, projek tebatan banjir yang mana RM7 bilion daripada RM15 bilion sudah diluluskan kerajaan sebelum ini akan disemak kerana ia diluluskan tanpa proses mengikut peraturan.

"Saya akan pastikan perkara tersebut tidak diteruskan supaya prinsip ketelusan serta peraturan dipatuhi," tambahnya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.