- Iklan -
Berita

Tiada lagi istilah 'kleptokrat', 'penyamun' dalam kempen pilihan raya PH

Naratif pilihan raya di Padang Serai sebaliknya adalah mengenai kesatuan dan mengenepikan perbezaan antara parti yang bertentangan sebelum ini.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi bersama pemimpin Pakatan Harapan dan penyokong ketika ceramah kempen pilihan raya di Padang Serai, Kedah malam tadi. Gambar: Bernama
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi bersama pemimpin Pakatan Harapan dan penyokong ketika ceramah kempen pilihan raya di Padang Serai, Kedah malam tadi. Gambar: Bernama

Naratif kempen Pakatan Harapan (PH) tampak hilang bisanya apabila perkataan “kleptokrat” yang sering dilaung-laungkan sebelum ini sudah tidak lagi disebut di mulut pimpinan parti itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Padang Serai di Kedah esok. 

Di ceramah mega di padang Kampung Tunku Putra malam tadi, barisan kepimpinan PH berkongsi pentas dengan pimpinan Barisan Nasional (BN) di atas trak Ayuh Malaysia yang dimiliki menteri ekonomi, Rafizi Ramli.

Seakan berkongsi skrip yang sama, kesemua penceramah membawa naratif perpaduan dan mengelak kebencian kaum dalam serangan bertubi-tubi kepada Perikatan Nasional (PN) pencabar utama PH di Padang Serai.

Rafizi misalnya, menyifatkan sentimen perkauman yang disaksikan sekarang sebagai tertinggi dalam hidupnya dan kini menjadi musuh nombor satu masyarakat Malaysia.

"Antara kita berebut sesama ahli politik dengan menguruskan sentimen kebencian, lebih utama kita afdal kita uruskan sentimen kebencian di luar," katanya merujuk kepada kempen PN. 

PH juga tidak lagi memainkan lagu “Aduh Malaysia” yang dicipta penyanyi rap yang juga ahli PKR, Altimet yang kerap dimainkan semasa PRU lepas. 

Selain istilah kleptokrat, istilah “penyamun”juga sudah tidak disebut pimpinan PH.

Perkataan kleptokrat menjadi sebutan di bibir rakyat Malaysia ketika kemuncak krisis 1MDB mula mendapat perhatian dunia beberapa tahun lalu. 

Ia disebut ahli-ahli Parlimen dan diulang dalam kempen-kempen propaganda PH sehingga menjadi sinonim kepada bekas perdana menteri, Najib Razak dan pimpinan BN lain.

Serangan terhadap PN juga boleh dilihat sebagai pengalihan tumpuan ketika semakin ramai pihak menyoal keputusan BN dan PH untuk bergabung. 

Sebelum ini, PH memanfaatkan kedudukan moral untuk menyerang BN yang disifatkan korup dan penuh penyelewengan. 

Rafizi juga terang-terangan menyerang presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang turut berada dalam program sama semalam. 

Zahid, yang mengepelai kem kluster mahkamah dalam Umno, sebelum ini secara terang-terangan menyatakan BN perlu menang PRU15 jika pemimpinnya tidak mahu didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan. 

Ahli parlimen Bagan Datuk itu berdepan 47 pertuduhan membabitkan salah guna wang jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi. 

Beliau sebelum ini dilepaskan mahkamah dalam kes visa luar negara. 

Zahid yang terpalit kontroversi pelantikan sebagai timbalan perdana menteri juga turut menggunakan skrip sama dan menyentuh mengenai hormat-menghormati antara kaum di Malaysia. 

Terdahulu beliau disambut dengan tepukan dan sorakan penyokong PH ketika namanya diumum. 

Isu sentimen perkauman turut mendapat perhatian pihak berkuasa seperti polis dan suruhanjaya komunikasi dan multimedia sejurus tamat PRU15. 

PH mengarahkan penyokong untuk tidak berarak atau mengadakan keraian bagi meredakan suhu sentimen ketika itu. 

Dalam ceramah sama, penyokong dan akar umbi PH dan BN juga dipujuk untuk melupakan perbezaan antara kedua-dua gabungan itu selepas pembentukan kerajaan campuran di peringkat persekutuan. 

Ia boleh dilihat sebagai cara memberi justifikasi kepada gabungan itu. 

"Kita akan berdepan dengan keadaan sukar dan kita perlukan kerajaan yang stabil dan untuk menjadi stabil, sudah sampai masa kita lupakan persengketaan dahulu," kata Rafizi.

Saifudin Nasution yang juga menteri dalam negeri turut mengambil contoh rusuhan kaum di sebuah negara di Afrika sebagai amaran kepada rakyat Malaysia. 

Padang Serai menyaksikan persaingan enam penjuru antara Azman Nasrudin (PN), C Sivaraj (BN), Hamzah Abdul Rahman (Pejuang), Mohamed Sofee Razak (PH), calon Mohd Bakri Hashim (Warisan) dan calon bebas, Sreanandha Rao. 

Sivaraj dan Bakri bagaimanapun mengumumkan menarik diri bagi memberi laluan kepada calon PH.

PRU15 bagi kerusi Padang Serai ditangguh ekoran kematian calon PH, M Karupaiya akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.