- Iklan -
Berita

Bersatu gesa menteri dalam negeri jangan campur tangan siasatan polis dalam isu RM600 bilion

Dr Afif Bahardin berkata Saifuddin Nasution Ismail tidak ada kaitan dalam membincangkan butiran siasatan dengan KPN.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail bersama Ketua Setiausaha Dalam Negeri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz (kiri) dan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani (kanan) pada sidang media di Putrajaya semalam.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail bersama Ketua Setiausaha Dalam Negeri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz (kiri) dan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani (kanan) pada sidang media di Putrajaya semalam.

Pemimpin Bersatu Dr Afif Bahardin hari ini menyelar Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail kerana berkata akan mengadakan perbincangan lanjut dengan ketua polis negara mengenai dakwaan pelanggaran dalam perbelanjaan yang dikatakan mencecah RM600 bilion, menyifatkannya sebagai ini "campur tangan politik yang jelas dalam mengarahkan polis mengenai cara mereka menjalankan tugas".

Dalam satu kenyataan, timbalan ketua Bersatu Shah Alam itu berkata Saifuddin "tiada kaitan” dalam membincangkan perincian siasatan dengan ketua polis negara.

“Itu adalah bidang kuasa polis, dan tidak boleh ada campur tangan politik atau menteri,” katanya.

Semalam, Saifuddin berkata beliau akan berbincang dengan Acryl Sani Abdullah Sani mengenai dakwaan penyelewengan yang dikatakan berlaku semasa pentadbiran Muhyiddin Yassin.

"Sudah tentu saya akan dapatkan pandangan daripada pihak badan siasatan berkaitan, kalau ia berkaitan polis ia dalam bidang kuasa kita, jika berkaitan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) tentu mereka siasat" katanya pada sidang media di Putrajaya.

SPRM juga turut mengesahkan pihaknya membuka kertas siasatan mengenai perkara itu.

Afif berkata tanggungjawab menteri dalam negeri adalah untuk memberi arahan dasar kepada badan penyiasat “yang dirasakan sesuai" selain mengawasi keselamatan negara.

“Bukannya untuk campur tangan dalam mana-mana siasatan yang khusus,” katanya.

Beliau turut menyasarkan kecaman terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim, mengatakan presiden PKR itu membuat dakwaan tanpa sebarang bukti untuk menyokongnya.

“Pemimpin-pemimpin PH, yang mendakwa memperjuangkan pembaharuan demokrasi, tadbir urus yang baik dan kebebasan institusi, namun kini secara terbuka mengaku membincangkan hal-hal siasatan membabitkan lawan politik mereka dengan polis adalah satu perkara yang mengejutkan dan tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

“Perdana menteri membuat tuduhan setiap hari terhadap lawan politiknya, pengerusi Perikatan Nasional (PN), dan menteri dalam negeri membincangkan siasatan atas tuduhan yang sama dengan KPN.

"Ringkasnya, PH yang menuduh dan kemudian PH sendiri yang menyiasat tuduhannya. Walaupun ini mungkin biasa di negara seperti Korea Utara, namun ia sangat menjijikkan kerana berlaku di Malaysia yang sepatutnya menjadi negara demokratik.”

Afif juga mempertikaikan angka RM600 bilion, berkata jumlah yang sebenarnya adalah RM530 bilion termasuk jumlah pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan moratorium bank.

"Malah, hanya RM80 bilion yang dikeluarkan secara tunai untuk membantu rakyat."

Semalam, Anwar berkata berdasarkan maklumat yang diperolehinya, terdapat beberapa proses dan prosedur yang tidak dipatuhi oleh kerajaan PN, sambil menambah terdapat syarikat berkepentingan keluarga terlibat.

Beliau juga berkata kenyataan Muhyiddin mengenai perkara itu juga "mengelirukan".

“Kenyataan itu sengaja mengelirukan seolah-olah kerajaan bagi wang begitu banyak, (tetapi) sejumlah besar sebenarnya adalah wang KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), wang rakyat sendiri, ini saya dah ulas dua tahun lalu di Parlimen.

“Di bawah-bawah tengok, wah begitu besar kita belanja, sekarang baru dia (Muhyiddin) akui, sebenarnya bukan, kerana wang itu wang KWSP dan wang bank melalui keputusan moratorium.

“Tetapi ada berpuluh bilion ringgit lain yang diperuntukkan (dari jumlah RM600 bilion) yang menunjukkan ada pelanggaran peraturan,” katanya.

Pakej kewangan bernilai berbilion ringgit merangkumi pengagihan wang tunai sehingga penggantungan atau moratorium pembayaran balik pinjaman diumumkan oleh Muhyiddin semasa pentadbirannya ketika kemuncak pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Pada Ogos, kerajaan berkata kira-kira RM145 bilion telah dikeluarkan oleh ahli KWSP di bawah pelbagai program pengeluaran kecemasan.