Kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) hari ini mengecam laporan sekumpulan pelajar universiti dipanggil untuk disoal siasat berhubung penglibatan mereka dalam acara yang dianjurkan oleh aktivis Fahmi Reza, mengatakan kebebasan awam harus dipertahankan di bawah kerajaan baru yang diterajui Anwar Ibrahim.
Mengatakan tiga daripada pelajar yang dipanggil itu hanya menghadiri Kelas Demokrasi di Pulau Pinang bulan lalu manakala yang seorang lagi hanya membalas ciapan di Twitter, pengarah LFL Zaid Malek menegaskan aktivisme politik dan usaha untuk “mewujudkan kesedaran demokrasi" bukanlah satu jenayah.
“Ia adalah satu amalan kebebasan bersuara dan perhimpunan yang dilindungi di bawah Perkara 10(1)(a) dan Perkara 10(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” tambahnya.
"Proses demokrasi yang sihat bergantung pada idea bebas dalam apa jua bentuk, sama ada ia berlaku dalam talian atau fizikal, dan ia mesti dilindungi daripada tindakan polis."
Dalam satu kenyataan, Zaid mengingatkan Anwar dan gabungan Pakatan Harapan (PH) tentang janji-janji mereka untuk melakukan perubahan sejak beberapa tahun lalu, di samping turut berkata orang ramai harus dibenarkan terlibat dalam perbincangan mengenai proses demokrasi dan perkembangan politik di negara ini.
“Tindakan polis tidak pernah wajar, walaupun acara seperti ini adalah untuk kepentingan mana-mana ideologi politik atau parti tertentu," katanya.
“Bahkan, apa yang ironinya, ceramah Fahmi Reza ini dilaporkan berbentuk non partisan."
Beliau turut menggesa Anwar dan kerajaannya untuk mempertahankan kebebasan awam dalam negara, mengatakan PH berikrar dalam manifestonya untuk memperkasakan kebebasan bersuara di bawah pemerintahannya.
"Janji ini mesti ditunaikan.
“Jika tidak, ia akan menjadi pelanggaran terang-terangan terhadap ikrar yang diuar-uarkan kepada pengundi."