Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya yang dijangka berlaku di beberapa daerah di Kelantan dan Terengganu hingga esok (Sabtu).
MetMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan daerah terlibat di Kelantan ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.
“Di Terengganu melibatkan daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang,” menurut kenyataan itu.
MetMalaysia turut menjangkakan berlaku hujan lebat berterusan tahap buruk hingga esok membabitkan Perak (Hulu Perak), Kelantan (Gua Musang), Terengganu (Dungun dan Kemaman) dan Pahang (Jerantut dan Kuantan).
MetMalaysia juga mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada hingga esok membabitkan kawasan Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah dan Kampar di Perak; manakala di Pahang melibatkan Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Maran, Pekan dan Rompin.