- Iklan -
Berita

Kes mingguan denggi meningkat 11.6%

Dalam pada itu, dua kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan minggu lalu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Sukarelawan menyembur pembasmi nyamuk Aedes di sekitar flat PPR Pudu Ulu di Kuala Lumpur.
Sukarelawan menyembur pembasmi nyamuk Aedes di sekitar flat PPR Pudu Ulu di Kuala Lumpur.

Jumlah kes demam denggi yang dilaporkan pada minggu epidemiologi (ME) ke-48 tahun ini dari 27 November hingga 3 Disember meningkat sebanyak 11.6% iaitu 1,935 kes berbanding 1,734 pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan dua kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada ME ke-48. 

Beliau berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah 58,239 kes berbanding 24,049 kes bagi tempoh sama tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak 142.2% manakala 39 kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding 19 kematian bagi tempoh sama pada 2021. 

"Sebanyak 53 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ini berbanding 54 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya dengan 24 hotspot berada di Selangor, Sabah (16), Kuala Lumpur dan Putrajaya (10) serta masing-masing satu lokaliti di Pulau Pinang, Perak dan Sarawak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata survelan chikungunya merekodkan sebanyak 21 kes pada ME ke-48 dengan 20 kes di Pulau Pinang dan satu kes di Selangor. 

“Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 731 kes. Bagi survelan zika, sebanyak 2,003 sampel darah dan 17 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif," katanya.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi