- Iklan -
Berita

Pengangguran turun ke paras terendah pada Oktober sejak pandemik Covid

Ketua perangkawan berkata prestasi tenaga buruh yang optimistik pada Oktober 2022 mencerminkan asas ekonomi negara stabil.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Beberapa pengunjung sedang mengisi borang ketika berkunjung ke pameran kerjaya anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di Taman Melawati, Hulu Kelang pada Oktober lalu.
Beberapa pengunjung sedang mengisi borang ketika berkunjung ke pameran kerjaya anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di Taman Melawati, Hulu Kelang pada Oktober lalu.

Pengangguran dalam negara turun ke paras terendah sejak pandemik Covid-19 dengan merekodkan 602,000 orang pada Oktober berbanding 605,000 orang pada September lepas, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan berkata kadar pengangguran pada Oktober pula kekal pada 3.6% iaitu 0.3% lebih tinggi berbanding paras prapandemik pada Februari 2020 sebanyak 3.3%.

Beliau berkata bilangan tenaga buruh terus meningkat pada Oktober dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.2 peratus kepada 16.68 juta orang berbanding September iaitu 16.66 juta orang manakala Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) kekal 69.7%.

“Prestasi tenaga buruh yang optimistik pada Oktober 2022 mencerminkan asas ekonomi negara stabil, hasil daripada aktiviti ekonomi dan sosial berterusan.

“Ini ditambah dengan sokongan polisi berterusan bagi mengatasi kesan peningkatan kos sara hidup dan mengurangkan risiko negatif berkaitan dengan pergolakan geopolitik yang berlarutan dan mengukuhkan kedudukan kewangan luar,” katanya.

Mengenai kedudukan guna tenaga, Uzir berkata kategori pekerja menjadi komposisi terbesar daripada jumlah penduduk bekerja iaitu 75.9%, dengan 12.20 juta orang direkodkan pada Oktober berbanding 12.18 juta orang bulan sebelumnya. 

Mengulas lanjut situasi pengangguran pada Oktober, beliau berkata bilangan penganggur aktif mencatatkan penurunan sebanyak 1.1% kepada 491,300 orang berbanding 496,600 orang bulan sebelumnya manakala penganggur tidak aktif meningkat 2.1% kepada 110,700 orang (September - 108,400).