Ibu bapa dengan anak-anak di bawah umur meluahkan kebimbangan terhadap kandungan ucapan politik sewaktu kempen pilihan raya, menyifatkannya sebagai tidak selamat dan memberi kesan buruk kepada psikologi kanak-kanak.
Mereka berkata, rata-rata ucapan dimuat naik pada media sosial mengandungi perkataan yang jelik, sentimen kebencian dan berbaur lucah menjadikannya tidak sesuai untuk tatapan anak-anak kecil.
Nurul Haslin Hassan, ibu kepada tiga orang anak berkata, ahli politik gagal melindungi golongan muda terutamanya yang masih di bangku sekolah daripada kandungan-kandungan video yang boleh mempengaruhi minda dan kelakuan.
"Saya ditanya oleh anak lelaki yang berusia lima tahun, siapa kepala otak kamu? Saya betul-betul terkejut kerana kami suami isteri cuba sedaya upaya tak pernah mencarut depan anak-anak.
"Kalau nak bergaduh pun elak daripada anak-anak dengar. Tiba-tiba keluar perkataan macam tu apabila tengok video politik di TikTok," katanya kepada MalaysiaNow dan menambah dia tidak menghalang anaknya menggunakan aplikasi itu ketika bersantai.
Katanya, dia mahu memberi ruang untuk anak-anaknya menonton animasi kegemaran mereka selain video tentang haiwan peliharaan seperti kucing dan arnab bagi tempoh hanya beberapa jam sehari.
Sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, siri jelajah ceramah politik berlangsung dengan rancak di seluruh negara.
Perkembangan itu menyebabkan banyak bahan-bahan dimuat naik dalam media sosial termasuk video pendek ceramah dan ucapan oleh ahli-ahli politik.
Tidak ketinggalan, beberapa video diedit bermotifkan hiburan tetapi tetap menyelitkan ucapan lawak “double meaning” dan kompilasi perkataan tidak senang seperti “kepala otak kamu” “bodoh” “bangang” dan sebagainya sehingga tular di semua platform media sosial.
Seorang aktivis sosial, Mohd Fairuz Abu bersetuju ucapan dalam kempen-kempen politik langsung tidak sesuai dan mesra kanak-kanak.
Katanya, ini kerana ahli-ahli politik sering menggunakan perkataan kasar dan lucah tanpa menyedari kesemua kandungan itu bukan sahaja menjadi tatapan para pengundi.
“Sedangkan video-video tular itu di merata media sosial yang di dalamnya ada pengguna kanak-kanak juga.
“Memang betul tontonan video ini menjadi peranan ibu bapa tetapi tetap akan ada budak-budak yang tertonton tanpa sengaja,” katanya kepada MalaysiaNow.
Dalam pada itu, seorang bapa berdepan dengan keadaan yang sama seperti Haslin apabila mendengar video yang dimainkan oleh anaknya di TikTok mempunyai suara latar belakang seorang ahli politik menyebut perkataan "bangang" secara berulang kali.
Terkejut dengan apa yang didengarinya, Yusman Ong segera menonton video tersebut dan mendapati tiada apa-apa yang berkaitan politik di dalamnya.
"Itu video lucu kanak-kanak tetapi suara dan muzik latar belakang menang jelas menggunakan suara ahli politik yang sudah diedit.
"Ada juga video yang anak saya tunjukkan pemimpin-pemimpin parti sedang berceramah tetapi ucapannya diambil sebahagian kemudian dicampur dan gabung menjadi satu video ceramah yang berbaur hasutan," katanya.
Yusman berkata anak sulungnya yang berusia 13 tahun amat aktif mengikuti TikTok untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai selebriti dan hobi kesukaannya.
Pada pengetahuannya politik tidak pernah menjadi topik pilihan anaknya di TikTok.
Bagaimanapun sepanjang musim PRU15 bulan lepas, algoritma TikTok dipenuhi dengan video-video kempen politik sahaja.
Sementara itu, ketika ditanya adakan kandungan-kandungan video tukar itu akan menggugat emosi kanak-kanak yang menontonnya, Fairuzberkata ianya mungkin tidak akan berlaku.
Ini kerana perkataan-perkataan seperti yang disebut oleh segelintir ahli politik itu sudah didengari di rumah, kawasan kejiranan mahupun sekolah.
"Kanak-kanak sebenarnya lebih banyak mengenali perkataan daripada ibu bapa dan internet.
"Internet merujuk kepada individu yang menjadi kegemaran mereka seperti pempengaruh (influencer) yang bermain permainan video."
Pada masa yang sama, Fairuz menegaskan ahli politik perlu sedar bahan-bahan kempen yang mereka jalankan pada masa kini tidak sama dengan yang berlaku pada beberapa dekad lalu apabila kandungan ceramah hanya disiarkan di kaca televisyen dan melalui proses sunting kandungan yang bersesuaian dengan akta-akta tertentu.
Berbeza dengan keadaan di zaman digitalisasi dan perkembangan media sosial, mereka seharusnya lebih berhati-hati dalan berkempen.
"Guna perkataan yang elok, berpolitiklah secara matang, bawa idea bukannya perkataan kesat, politik perkauman dan agama."